PEMAIN TFC II, Akanni Sunday  (kanan) diasak pemain Sarawak, Abdul Rahman Ismawi  di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.  - FOTO Rozainah Zakaria
PEMAIN TFC II, Akanni Sunday (kanan) diasak pemain Sarawak, Abdul Rahman Ismawi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. - FOTO Rozainah Zakaria
Malik Muhamad

TERENGGANU FC II (TFC II) berputih mata untuk mengutip sekurang-kurangnya satu mata di laman sendiri selepas tumpas 1-2 kepada Sarawak dalam aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam ini.

Kekalahan itu sekali gus meleburkan rekod tanpa kalah di laman sendiri selepas lapan perlawanan.

Pemain import kelahiran Brazil, Hudson Dias muncul wira Sarawak apabila meledak dua gol walaupun skuadnya ketinggalan pada awal babak permainan.

Terdahulu skuad The Turtles bimbingan Tengku Hazman Raja Hassan yang menguasai permainan pada awal babak pertama mendapat empat peluang keemasan untuk menghasilkan gol.

Namun daripada deretan percubaan itu, hanya satu peluang dimanfaatkan pemain TFC II menerusi penyerang dari Nigeria, Akanni Sunday Wasiu pada minit ke-15 yang menolak masuk bola ke dalam gawang pelawat selepas penjaga gol, Shaiful Wazizi Mohammad tertewas untuk mendahului 1-0.

Selebihnya tiga percubaan menerusi pemain meningkat naik, Ridzuan Mohd Razali pada minit ke-19, 24 dan 30 gagal menembusi gawang skuad Bujang Senang biarpun peluang terbuka luas.

Ketika kubu kerap diasak pemain tuan rumah, Bujang Senang yang dibimbing Ian Andrew Gillan berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi tolakan mengelirukan pemain import kelahiran Brazil, Dias pada minit ke-38 menewaskan penjaga gol, Sharmiza Yusoff.

Bersambung babak kedua, corak permainan kedua-dua pasukan semakin rancak dengan serangan bertali arus untuk menambahkan jaringan biarpun padang basah akibat hujan.

Hasil serangan pantas, Dias sekali lagi menceriakan kem Bujang Senang apabila meledak jaringan kedua peribadi berpunca daripada larian solo dari tengah padang sebelum merembat kencang menewaskan penjaga gol pada minit ke-73.

Empat minit berselang, tuan rumah berpeluang menyamakan kedudukan tapi rembatan Bruno Suzuki sedikit melepasi tiang gol sebelah kanan pelawat sekali gus mengecewakan skuad TFC II mengutip satu mata.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2019 @ 11:27 PM