ROSMADI Mohamad. FOTO Ihsan Rosmadi Mohamad
ROSMADI Mohamad. FOTO Ihsan Rosmadi Mohamad
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Peminat sukan sepak takraw tanah air bakal disajikan dengan pertarungan hebat pemain dari dalam dan luar negara pada Kejohanan Sepaktakraw Piala Menteri Besar Terengganu yang bakal berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri (KSN), di Gong Badak bermula 25 hingga 27 Ogos ini.

Turut berlangsung pada tarikh dan tempat yang sama adalah Kejohanan Sepaktakraw Piala Exco Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan negeri Terengganu.

Pengerusi Pertandingan, Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu (PSNT), Rosmadi Mohamad berkata, sebanyak 32 regu bagi kategori Piala Menteri Besar dan 48 regu bagi Piala Exco dijangka bakal berentap untuk bergelar juara kejohanan edisi ke-15 itu.

"Piala MB terbuka kepada semua pemain di seluruh negara termasuk pemain import dari luar negara manakala Piala Exco adalah tertutup Terengganu bagi memberi pendedahan kepada pemain yang tidak pernah mewakili negeri dan negara.

"Kita menyasarkan 80 regu bagi kedua-dua kategori, setakat ini sambutan begitu menggalakkan, jadi kita masih membuka penyertaan sehingga 22 Ogos ini buat pasukan untuk mendaftar dengan PSNT.

"Kita harapkan matlamat penganjuran untuk mempelbagaikan bentuk pembangunan sepak takraw dalam negara di samping mengetengahkan bakat baharu sebagai pelapis untuk mewakili negara tercapai," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, kejohanan anjuran PSNT dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) itu menawarkan hadiah keseluruhan sebanyak RM15,500 bagi kedua-dua kategori.

Katanya, kejohanan itu turut mendapat kerjasama daripada ProEight Sdn Bhd, syarikat Faiza, Gajahmas dan Paijang's Sports.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Ogos 2022 @ 7:40 PM