JAMES (kiri) meledak gol tunggal Wales di Cardiff. — FOTO www.uefa.com
JAMES (kiri) meledak gol tunggal Wales di Cardiff. — FOTO www.uefa.com
Reuters

WALES bermula langkah kanan pada kempen kelayakan Euro 2020 apabila Daniel James meledak gol sulung antarabangsa sekali gus membantu mereka menang 1-0 di laman sendiri ke atas Slovakia pada pertembungan menarik Kumpulan E, malam ini.

Pemain tengah Swansea itu menggembirakan penyokong tuan rumah di Stadium Cardiff City yang dibanjiri penonton apabila dia merampas bola daripada pertahanan Peter Pekarik sebelum melakukan rembatan lencong melepasi penjaga gol Martin Dubravka pada minit kelima.

Slovakia, yang mengalahkan Hungary 2-0 di laman sendiri pada aksi pertama mereka Khamis lalu, hampir menyamakan kedudukan pada babak kedua namun dinafikan dengan dua tindakan penyelamat mengagumkan Wayne Hennessey.

Penjaga gol Wales itu menafikan Albert Rusnak dari jarak dekat pada minit ke-54 dan menyelamatkan tandukan Michal Duris dengan layangan akrobatik pada minit ke-74 ketika pelawat bertungkus-lumus mencari gol penyamaan.

Selain dua peluang itu, Dubravka turut bertindak baik menumbuk keluar rembatan voli Harry Wilson manakala Pekarik hampir menebus kesilapannya apabila tandukannya tersasar sedikit melewati palang pada babak akhir perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2019 @ 12:42 AM