PENYERANG Sweden, Alexander Isak (kanan) mengatasi pertahanan Slovakia, pada perlawanan Kumpulan E Euro 2020, hari ini. FOTO AFP
PENYERANG Sweden, Alexander Isak (kanan) mengatasi pertahanan Slovakia, pada perlawanan Kumpulan E Euro 2020, hari ini. FOTO AFP
AFP

Saint Petersburg: "Memang bagus apabila memiliki empat mata daripada dua perlawanan," kata jurulatih Sweden, Janne Andersson selepas pasukannya menewaskan Slovakia, 1-0, hari ini.

Sepakan penalti Emil Forsberg pada babak kedua mengesahkan kemenangan penting itu, sekali gus menyaksikan mereka menduduki tangga teratas Kumpulan E Euro 2020.

Sweden yang seri tanpa jaringan dengan Sepanyol pada aksi pembukaan, kini berpeluang cerah mara ke pusingan kalah mati pertama sejak 2004.

Satu mata pada perlawanan terakhir menentang Poland di Stadium Krestovsky pada Rabu ini sudah memadai untuk mereka menduduki dua tangga teratas kumpulan.

"Kami bermain tujuh perlawanan tahun ini dan hanya dibolosi satu gol," kata Andersson.

"Penyerang kami berhak mendapat keputusan lebih baik hari ini, mereka sentiasa menakjubkan sepanjang masa."

Penyerang Real Sociedad, Alexander Isak hampir menjaringkan antara gol menarik dalam sejarah Kejuaraan Eropah apabila menggelecek empat pertahanan lawan, tetapi rembatan rendahnya diselamatkan penjaga gol Slovakia, Martin Dubravka.

"Dia memiliki bakat hebat," kata Andersson mengenai Isak. "Dia masih muda dan memiliki banyak ruang untuk meningkat. Saya fikir, banyak lagi akan dipersembahkannya dan dia beraksi cukup baik hari ini."

Sweden menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-77 apabila pemain tengah RB Leipzig, Forsberg menyempurnakan penalti selepas Dubravka menjatuhkan pemain gantian, Robin Quaison.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 12:27 AM