PEMAIN tengah, Emil Forsberg menyempurnakan sepakan penalti bagi membolehkan Sweden mengatasi Slovakia 1-0, sekali gus menduduki tangga teratas Kumpulan E Euro 2020, hari ini. FOTO AFP
PEMAIN tengah, Emil Forsberg menyempurnakan sepakan penalti bagi membolehkan Sweden mengatasi Slovakia 1-0, sekali gus menduduki tangga teratas Kumpulan E Euro 2020, hari ini. FOTO AFP
AFP

Saint Petersburg: Sepakan penalti Emil Forsberg pada babak kedua mengesahkan kemenangan 1-0 Sweden ke atas Slovakia, sekali gus menyaksikan pasukan itu menduduki tangga teratas Kumpulan E Euro 2020, hari ini.

Anak buah Janne Andersson yang seri tanpa jaringan menentang Sepanyol pada perlawanan pembukaan kini berpeluang cerah melangkah ke pusingan kalah mati buat kali pertama sejak 2004.

Satu mata ketika menentang Poland pada aksi terakhir kumpulan di Stadium Krestovsky, Rabu ini sudah memadai buat mereka menduduki dua tempat teratas.

Slovakia turut berpeluang layak jika menang hari ini, tetapi kini akan menentukan nasib apabila bertemu Sepanyol pada aksi terakhir kumpulan di Seville.

Pada aksi hari ini, Sebastian Larsson membuat percubaan awal sebelum diselamatkan Martin Dubravka, tetapi Slovakia lebih mengancam apabila Juraj Kucka menanduk sipi pada minit kelima.

Kedua-dua pasukan menamatkan separuh masa pertama tanpa banyak mencipta gerakan, mungkin berhati-hati dengan anggapan satu mata sudah memadai.

Dua peluang keemasan Sweden dinafikan Dubravka yang menolak keluar tandukan Ludwig Augustinsson dan tindakan susulan Marcus Danielson selepas sepakan sudut.

Sweden akhirnya berada di depan pada minit ke-77 apabila pemain tengah RB Leipzig, Forsberg menewaskan Dubravka menerusi sepakan penalti selepas penjaga itu itu menjatuhkan pemain gantian, Robin Quaison.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 11:02 PM