AKSI Casey melakukan pukulan di Florida. - FOTO Agensi
AKSI Casey melakukan pukulan di Florida. - FOTO Agensi

PEMAIN England, Paul Casey mendahului satu pukulan ke atas pemain nombor satu dunia Dustin Johnson menuju final esok dalam misi mempertahankan trofi Kejohanan Valspar di Florida.

Casey, 41, mencatat tiga bawah par 68 di pusingan ketiga walaupun bogey pada lubang terakhir di Florida.

Pemain Amerika Syarikat, Jason Kokrak yang melakukan ‘hole in one’ di lubang ke-15 membantunya menduduki tempat ketiga, satu pukulan mengatasi seorang lagi pemain England, Luke Donald.

Donald hanya melakukan 10 penampilan dalam dua musim akibat kecederaan belakang tetapi dia mencipta birdie pada lubang terakhir untuk kekal dalam saingan kejohanan sekali gus membuka laluan buat bekas pemain nombor satu dunia itu menamatkan kemarau trofi PGA atau Jelajah Eropah sejak 2012.

"Saya banyak bersabar dalam sebahagian besar aksi hari ini dan agresif apabila mempunyai peluang.Saya rasa sangat bagus dengan permainan saya,” kata Casey yang mahu menjadi pemain pertama mempertahankan gelaran dalam masa 19 tahun.

"Menentang Dustin esok memang mengujakan. Saya sangat gembira setiap kali menentang pemain nombor satu dunia.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2019 @ 1:17 PM