TIGER WOODS
TIGER WOODS
AFP

MIAMI: Tiger Woods mencatat tiga di bawah par 68 hari ini untuk mendahului saingan pusingan kedua di Kejohanan Valspar, kejohanan keempat disertainya sejak pulih daripada pembedahan belakang April lalu.

Bekas pemain nombor satu dunia itu mempamerkan aksi hampir sempurna, hanya bogey pada lubang terakhir di  Innisbrook Resort di utara Tampa, Florida, yang menghalangnya daripada mendahului berseorangan.

Malah jumlah empat di bawah par 138 keseluruhan mengikatnya dengan pemain England Paul Casey dan pemain Amerika Syarikat Brandt Snedeker dan Ryan Palmer.

Pendatang baru Kanada Corey Conners, yang sebelum itu mendahului saingan dengan empat di bawah par, masih belum memulakan pukulan sewaktu Woods meninggalkan lapangan.

“Saya berada di atas sana. Saya tidak fikir akan mendahului (pada akhir hari ini) tetapi sekurang-kurangnya saya berada di sana dengan peluang melangkah ke hujung minggu,” kata Woods yang memulakan saingan dengan berkongsi tangga kelapan, ketinggalan tiga pukulan berbanding pendahulu.

“Hari yang baik. Pada awalnya sejuk dan kemudian angin bertiup. Ia tidak konsisten, sudah untuk menentukan dari mana arahnya. Saya banyak berteka-teki, ada yang tepat tetapi ada kalanya tertipu beberapa kali.”

Woods memulakan pukulan pada lubang ke-10 dan melakukan putt pada lubang ke-12 dan 13 dan mencatat birdie pada lubang kedua.

Sebaik pukulannya jatuh di bunker pada lubang kelima, Woods membuat pukulan sejauh lima kaki dan kemudiannya melakar birdie untuk lima di bawah par keseluruhan  yang meletakkan mendahului saingan.

Dia mencatat par pada lubang ketujuh dengan putt sejauh tujuh kaki namun percubaan pukulan pada lubang terakhir tidak menjadi.

“Saya tidak tahu jika saya mendahului berseorangan,” kata Woods. “Sewaktu melepasi lubang pusingan ia menunjukkan 68 pukulan dan empat di bawah par.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Mac 2018 @ 1:43 PM