AARON (kanan) dan Wooi Yik tiba di KLIA, selepas harumkan nama negara. -Foto BERNAMA
AARON (kanan) dan Wooi Yik tiba di KLIA, selepas harumkan nama negara. -Foto BERNAMA
Saiful Affendy Sapran


LAYAK ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan memenangi sekurang-kurangnya satu kejohanan musim ini menjadi misi baharu naib juara Seluruh England, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Bagi beregu lelaki negara itu, misi layak ke Sukan Olimpik bermula dengan kempen kelayakan Mei ini adalah sesuatu yang menjadi keutamaan dalam merealisasikan impian mereka untuk tampil beraksi di temasya sukan terbesar dunia itu buat kali pertama.

“Kami sememangnya berharap dapat layak ke Sukan Olimpik bermula dengan Terbuka New Zealand tetapi ia bukan mudah dan perlu melalui kempen kelayakan secara berperingkat.

“Walaupun Sukan Olimpik hanya berlangsung tahun depan, kami perlu bekerja keras bermula daripada sekarang,” kata Aaron.

Jelasnya, dia dan Wooi Yik mahu menamatkan badi gagal melakar kemenangan dalam kejohanan yang disertai sebelum ini termasuk di Seluruh England.

“Memang dari tahun lalu lagi kami letak sasaran untuk memenangi satu kejuaraan tetapi ia masih belum berhasil apabila hanya dapat melangkah ke suku akhir atau pun menjadi naib juara.

“Harap tahun ini kami dapat memenangi sekurang-kurangnya satu kejuaraan. Kami juga berharap dapat sekurang-kurangnya melangkah sehingga ke separuh akhir pada Terbuka Malaysia hujung bulan ini,” katanya.

Sejak mula digandingkan pada November 2017, Aaron-Wooi Yik masih belum dapat menggengam status juara dalam kejohanan yang disertai oleh mereka.

Aaron-Wooi Yik terlepas kejuaraan Seluruh England selepas tewas kepada gandingan juara dunia dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-11, 14-21, 12-21, di Arena Birmingham, Ahad lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 6:30 AM