Zamir Selamat azam pamer aksi terbaik. FOTO NSTP.
Zamir Selamat azam pamer aksi terbaik. FOTO NSTP.
Nazri Abu Bakar


PENJAGA gol, Batu Dua FC, Zamir Selamat berazam membantu pasukannya menumbangkan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) pada saingan Liga M3 di Stadium Hang Jebat, Melaka, petang esok.

Bekas pemain kebangsaan, Johor Darul Ta’zim (JDT), PKNS dan Melaka United (MU), berkata, walaupun menyedari SAMB memiliki kelebihan beraksi di gelanggang sendiri namun baginya bukan halangan buat Batu Dua FC menampilkan cabaran sengit malah mengintai peluang mengutip mata maksimum.

Katanya, kesungguhan jelas amat tinggi buatnya untuk melakar kejayaan bersama skuad baharunya itu selepas dia hampir terlepas peluang beraksi musim ini sebaik kontraknya berakhir bersama MU Disember lalu.

Baginya, status liga bukan sesuatu yang perlu diambil kira walaupun sebelum ini dia memiliki 'nama besar' beraksi di peringkat antarabangsa selain menikmati cabaran dengan pasukan ternama Liga Super dan Liga Perdana.

"Pada saya Liga M3 juga amat menarik dan getir berikutan setiap pasukan memiliki pemain berpengalaman termasuk bekas pemain utama Liga Malaysia yang turut beraksi.

"Sehubungan itu, pertemuan berdepan SAMB tetap laluan sukar berikutan mereka turut memiliki ramai pemain terbaik termasuk yang pernah menyarung jersi MU, Terengganu City dan Perlis," katanya yang baharu empat hari bersama skuad itu.

Sementara itu, pengurus pasukan SAMB, Fairullizam Ishak berkata, kehadiran empat bekas pemain Singa Utara iaitu Jasmir Mehat, Mohamad Fakhrullah Rosli, Mohd Yusri Abas dan Muhammad Sabri Adam bakal meletakkan skuad itu lebih mantap.

Menurutnya, penyertaan mereka mampu merealisasikan sasaran untuk pasukan terbabit menduduki lima tangga teratas liga atau lebih baik daripada itu.

Justeru, beliau mengharapkan pemain bakal memperaga persembahan berkualiti dengan tidak memandang mudah setiap cabaran lawan sekali gus menepati misi SAMB untuk memenangi perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2019 @ 2:08 PM