Halim Jantan. FOTO Nazri Abu Bakar
Halim Jantan. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


LANGKAH SAMB FC menarik diri menyertai Liga M3 diibarat satu kerugian kepada perkembangan bola sepak Melaka.

Lagenda bola sepak Melaka, Halim Jantan berkata, kerugian membabitkan perkembangan bakat pemain yang tidak dapat diketengahkan pada saingan kompetitif.

Katanya, saban tahun skuad terbabit menjadi 'feeder club' kepada Melaka United (MU) dengan pemain muda berbakat akan terpilih mewakili skuad utama Hang Tuah terbabit.

Malah musim ini tiga pemain skuad berkenaan termasuk Mohamad Fakhrullah Rosli , Jasmir Menhat dan Muhamad Shyamierul Razmee Jasmi berada dalam pasukan Hijau Putih.

"Begitu juga kebanyakan pemain yang pernah menyertai Melaka pernah membarisi skuad terbabit, selain yang tidak mendapat tempat dalam skuad Hijau Putih akan beraksi di M3 atau Liga FAM bersama SAMB FC sebelum itu," katanya.

Beliau berkata, kerugian lain membabitkan bakat jurulatih muda dan anak jati untuk mengembangkan bakat dalam bidang kejurulatihan juga terjejas.

Baginya, lebih banyak pasukan dari Melaka menyertai M3 lebih baik berikutan skuad itu memerlukan pentas pendedahan jurulatih baru yang pesat berkembang.

Halim berkata, harus diingat ke mana arah bakat muda dan jurulatih yang ada dalam skuad SAMB melainkan mewujudkan pasukan pelapis dengan penjenamaan semula Melaka United II.

Justeru, cadangan mewujudkan Melaka II sebelum ini harus diteruskan sebagai pelapis skuad Melaka masa depan.

SAMB FC sah menarik dari daripada saingan Liga M3 musim ini.

Pengurus pasukan, Fairullizam Ishak berkata, keputusan awal adalah kekal dalam saingan liga berkenaan namun disebabkan masalah penajaan dan kekangan kewangan memaksa pasukan menarik diri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 January 2020 @ 3:42 PM