CAVANI (kiri) menjaringkan gol ketiga PSG menentang Villefranche pada aksi Piala Perancis, awal pagi tadi. - FOTO Reuters
CAVANI (kiri) menjaringkan gol ketiga PSG menentang Villefranche pada aksi Piala Perancis, awal pagi tadi. - FOTO Reuters
Reuters

PENYANDANG juara Paris St Germain dipaksa bermain hingga ke masa tambahan oleh kelab divisyen tiga Villefranche Beaujolais namun layak ke suku akhir Piala Perancis awal pagi tadi selepas pemain gantian Kylian Mbappe dan Edinson Cavani membantu mereka menang 3-0.

Selepas bermula dengan pasukan kedua, kelab ibu negara itu terpaksa bergantung kepada Mbappe dan Cavani, yang turut menyumbang kepada semua tiga gol itu, untuk membantu mereka memecah kebuntuan apabila seri tanpa jaringan selepas 90 minit.

Penyerang Uruguay, Cavani mengumpan kepada Julian Draxler bagi gol pembukaan pada minit ke-102, manakala penyerang Perancis, Mbappe melorongkan gol kedua kepada Moussa Diaby pada minit ke-113 sebelum mencipta gerakan gol ketiga yang disempurnakan Cavani pada minit ke-119.

PSG bergelut hampir sepanjang perlawanan di Stadium Groupama di Lyon dan jurulatih Thomas Tuchel dibuang padang pada minit ke-72 apabila beliau hilang sabar susulan kekasaran terhadap pemain tengah Leandro Paredes.

Mbappe dan Cavani bermula di bangku simpanan ketika Eric Choupo-Moting diturunkan sebagai penyerang manakala pemain tengah Marco Verratti, yang baru saja kembali berlatih selepas kecederaan buku lali, diketepikan daripada skuad.

PSG, yang berkunjung ke Manchester United Selasa depan bagi aksi pertama pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara, mendominasi tetapi pemain sayap Diaby terlepas peluang terbaik pada minit ke-13 ketika tuan rumah kekal bertahan.

Ketika PSG bergelut memecah kebuntuan, Angel Di Maria digantikan Mbappe pada minit ke-62 dan Choupo-Moting dikeluarkan bagi membawa masuk Cavani pada minit ke-79.

Perubahan itu ternyata berbaloi ketika PSG, yang memburu kejuaraan Piala Perancis buat kali kelima berturut-turut, berkampung di kubu Villefranche.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Februari 2019 @ 7:31 AM