NEYMAR turut memuji prestasi Atalanta. FOTO AFP
NEYMAR turut memuji prestasi Atalanta. FOTO AFP
AFP

BINTANG Brazil, Neymar mengakui bahawa Paris Saint-Germain (PSG) sentiasa percaya bahawa mereka boleh bangkit untuk menumpaskan Atalanta dengan dua gol pada saat akhir di suku akhir Liga Juara-Juara awal pagi tadi.

"Saya tidak pernah memikirkan akan pulang awal. Sejak dari mula hingga tamat, sejak dari sesi memanaskan badan, kami hanya fikirkan mengenai mara ke separuh akhir," kata pemain bola sepak termahal dunia itu.

Pemain gantian Eric Choupo-Moting tiga minit di masa kecederaan membolehkan PSG menumpaskan wakil Itali itu 2-1.

Mario Pasalic meletakkan Atalata di depan pada minit ke-27 namun PSG diselamatkan dengan gol penyamaan Marquinhos pada minit akhir perlawanan.

Kylian Mbappe melakukan hantaran kepada Choupo-Moting yang berjaya meledakkan gol kemenangan.

Juara Perancis itu akan berdepan sama ada RB Leipzig atau Atletico Madrid di separuh akhir awal pagi Rabu depan.

"Tidak akan ada siapa dapat mengubah fikiran saya bahawa saya mahu layak ke perlawanan akhir. Kami mempunyai satu kumpulan yang hebat, Kami adalah satu keluarga.

"Kami tahu bahawa bola akan datang bergolek, itu disebabkan selepas gol penyamaan kami mampu menjaringkan gol kedua," kata Neymar yang membantu PSG layak ke separuh akhir selepas kali terakhir pada 1995.

Neymar memuji Atalanta, pasukan yang dilihat biasa tapi mara ke separuh akhir, tatkala bandar Bergamo menjadi salah satu tempat teruk dilanda Covid-19.

"Atalanta adalah pasukan hebat, mereka bermain dengan baik, mereka melakukan kejutan dalam kejohanan. Mereka sangat agresif, kami sedar mereka akan memberi tekanan.

"Sekarang kami mahu rehat, kerana perlawanan tadi sangat sukar dari segi mental. Ada satu lagi perlawanan sukar selepas ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2020 @ 8:57 AM