CAVANI mengucapkan selamat tinggal kepada PSG lebih awal. FOTO AFP
CAVANI mengucapkan selamat tinggal kepada PSG lebih awal. FOTO AFP
AFP

PENJARING terbanyak sepanjang zaman Paris Saint-Germain (PSG), Edinson Cavani akan meninggalkan kelab berkenaan sebelum Liga Juara-Juara bersambung.

Awal bulan ini penyerang kelahiran Uruguay yang mengumpul 200 gol sejak menyertai PSG pada 2013, mengumumkan hanya akan meninggalkan Parc de Princes pada hujung musim dengan kontrak terkini disambung untuk tempoh jangka pendek.

Rangkaian televisyen Perancis, RMC dan akhbar Sepanyol, Marca juga mendakwa pertahanan kiri Belgium, Thomas Meunier juha akan meninggalkan kelab pada 30 Jun.

Kelab dari Paris itu mara ke suku akhir dalam saingan elit kelab Eropah, yang dijangka akan bermula dan berakhir pada Ogos depan.

Mereka juga masih lagi mempunyai tugas iaitu beraksi dalam Piala Perancis menentang Saint-Etienne dan Piala Liga berdepan Lyon.

Saingan Ligue 1 diputuskan berakhir April lalu akibat pandemik Covid-19 dengan PSG diumumkan sebagai juara buat kali ketiga berturut-turut.

Kedudukan Cavani dalam kelab berkenaan terancam selepas kehadiran Mauro Icardi secara pinjaman dari Inter Milan sejak awal musim.

PSG baru-baru ini membuat pengumuman mengikat Icardi secara tetap namun kedudukan kewangan kelab milik Qatar itu semakin merosot berikutan keputusan untuk menamatkan saingan domestik lebih awal.

Kontrak ketua pasukan, Thiago Silva juga tidak diperbaharui sementara pertahanan, Layvin Kurzawa dan penyerang, Eric Maxim Choupo-Moting bersedia untuk menandatangani kontrak jangka pendek bagi membolehkan mereka beraksi untuk masa akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2020 @ 9:42 AM