JIN Wei beraksi ketika menentang Akane. -Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM
JIN Wei beraksi ketika menentang Akane. -Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM
Helmi Talkah


 KUALA LUMPUR: Selepas sering kali menjadi ‘mangsa’ kekalahan di tangan pemain utama dunia, bintang muda negara, Goh Jin Wei mahu mengubah situasi itu dengan menjadikan dirinya sebagai ‘pemangsa’.

Pemain berusia 19 tahun itu merekodkan kejayaan terbesar sepanjang kerjayanya apabila menumbangkan pemain perseorangan wanita nombor lima dunia, Akane Yamaguchi dari Jepun dalam aksi pusingan pertama Masters Malaysia, hari ini.

Pada aksi di Axiata Arena Bukit Jalil itu, Jin Wei yang juga juara remaja dunia dua kali nyata tidak gentar dengan reputasi gah lawannya apabila mempamerkan prestasi cemerlang dengan kemenangan 21-14, 21-12 dalam tempoh 33 minit. 

Walaupun mengakui perjalanannya masih jauh, namun Jin Wei menyatakan yang dia sudah bersedia bagi berdepan dengan mana-mana pemain utama dunia yang lain.

Sebelum ini Jin Wei yang menghuni ranking ke-28 dunia pernah menewaskan pemain nombor tujuh dunia, He Bingjiao dan pemain utama dari Korea Selatan, Sung Ji Hyun.

“Sebelum ini saya selalu jadi mangsa pemain seperti Carolina Marin (Sepanyol) dan P V Sindhu (India). Saya harap ia tidak berterusan, bukan saya kata boleh terus lakukannya sekarang tetapi secara berperingkat.

“Siapa pun pemain utama dunia yang akan saya lawan selepas ini saya sudah bersedia. Macam perlawanan hari ini menentang Yamaguchi saya tidak jangka boleh menang dan ia perlawanan yang sukar.

“Selepas setahun setengah tidak bermain dalam kejohanan di peringkat senior, kejohanan ini adalah medan terbaik untuk saya menilai kemampuan dan jurang antara saya dengan pemain utama dunia yang lain,” kata Jin Wei ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Pemenang pingat emas Olimpik Belia 2018 di Argentina itu akan menentang Zhang Yiman dari China pada aksi pusingan kedua, esok.

Hanya tinggal Jin Wei membawa cabaran Malaysia dalam acara perseorangan wanita selepas dua lagi  wakil negara, Soniia Cheah dan Lee Ying Ying tewas di tangan lawan masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 10:54 PM