JIN WEI ketika menentang Yu Po pada pusingan kedua Perodua Malaysia Masters 2018 di Axiata Arena Bukit Jalil. -Foto EIZAIRI SHAMSUDIN
JIN WEI ketika menentang Yu Po pada pusingan kedua Perodua Malaysia Masters 2018 di Axiata Arena Bukit Jalil. -Foto EIZAIRI SHAMSUDIN
Helmi Talkah


DUA pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei dan Lee Ying Ying mengintai peluang melakar kejutan apabila masing-masing bertemu bintang dunia pada aksi suku akhir Malaysia Masters, esok.

Jin Wei yang juga bintang muda negara jelas teruja membuat perhitungan dengan bekas juara dunia 2013, Ratchanok Intanon di Arena Axiata Bukit Jalil.

Menurutnya, peluang bertemu pemain utama dunia dari Thailand itu medan terbaik menguji kemampuannya selain mengintai peluang melakar kejutan.

“Sudah pasti saya turun sebagai ‘underdog’ kerana kita pun tahu tahap Ratchanok. Namun, ini peluang saya belajar daripada pemain utama dunia seperti dia.

“Saya tahu ia akan menjadi perlawanan yang sukar tetapi tidak mustahil kejutan boleh berlaku. Saya cuba berikan aksi terbaik,” kata Jin Wei yang mara ke suku akhir selepas menewaskan pemain Taiwan, Pai Yu Po 21-11, 21-11 pada aksi pusingan kedua, hari ini.

Ratchanok pula mara ke kelompok lapan terbaik selepas menewaskan Kirsty Gilmour dari Scotland 9-21, 25-23, 21-14.

Sementara itu, Ying Ying turut cemerlang apabila menewaskan Aya Ohori dari Jepun 21-18, 17-21, 21-11.

Bagaimanapun, Ying Ying berdepan cabaran sukar untuk merebut tempat ke separuh akhir apabila perlu melepasi halangan pemenang pingat emas Olimpik 2016 dari Sepanyol, Carolina Marin.

Marin mara dengan menewaskan Mette Poulsen dari Denmark 21-15, 21-11.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2018 @ 4:49 PM