GOH JIN WEI
GOH JIN WEI
Helmi Talkah


 

BINTANG muda negara, Goh Jin Wei semakin ghairah memburu satu lagi kejutan apabila bertemu pemain nombor satu dunia, Tai Tzu Ying dari Taiwan pada aksi suku akhir Terbuka Malaysia di Arena Axiata Bukit Jalil, esok.

Terdahulu, juara remaja dunia 2015 berusia 18 tahun itu melakar kejutan apabila menewaskan pilihan ketujuh kejohanan dari Korea Selatan, Sung Ji Hyun 15-21, 21-18, 23-21 dalam aksi pusingan kedua, hari ini.

Kemenangan itu jelas meningkat motivasi Jin Wei untuk bertemu Tzu Ying biarpun mengakui ia akan menjadi perlawanan yang sukar.

“Saya teruja untuk bertemu dengan Tzu Ying kerana kita tahu dia adalah pemain nombor satu dunia. Saya tidak pernah bertemu dengannya sebelum ini, jadi ia akan menjadi perlawanan yang menarik.

“Saya tidak mahu meletak tekanan yang tinggi kepada diri sendiri. Saya tahu jurang antara kami besar tetapi ini peluang untuk saya menguji kemampuan diri, saya akan buat persiapan terbaik untuk menentang Tzu Ying,” kata pemain ranking ke-32 dunia itu.

Tzu Ying mara ke suku akhir selepas melakar kemenangan ke atas pemain Kanada, Michelle Li 21-11, 21-13 dalam satu lagi aksi pusingan kedua, hari ini.

Mengulas mengenai kemenangannya ke atas Ji Hyun, Jin Wei sempat berseloroh yang dia marasakan seperti ‘mahu mati’ ketika kedua-dua pemain terikat 19-19 di set penentuan.

“Memang gembira sangat dengan kemenangan ini. Ketika 19-19 di set penentuan, saya tidak fikir banyak sebaliknya hanya ambil risiko dalam setiap pukulan saya lakukan dan akhirnya kemenangan memihak kepada saya,” kata Jin Wei.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi beregu lelaki negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin dan dua beregu wanita, Vivian Hoo-Soong Fie Cho serta Lim Chiew Sin-Tan Sueh Jeou apabila terkandas di pusingan kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Jun 2018 @ 9:54 PM