BINTANG muda negara, Goh Jin Wei sudah sedia galas tugas perseorangan pertama menjelang pusingan akhir Piala Uber di Bangkok, bulan depan. - Foto Saifullizan Tamadi
BINTANG muda negara, Goh Jin Wei sudah sedia galas tugas perseorangan pertama menjelang pusingan akhir Piala Uber di Bangkok, bulan depan. - Foto Saifullizan Tamadi
Helmi Talkah


BINTANG muda negara, Goh Jin Wei menegaskan dia sudah bersedia bagi menggalas tugas sebagai perseorangan pertama biarpun mengakui ia tugas yang mencabar menjelang pusingan akhir Piala Uber di Bangkok, Thailand, bulan depan.

Berdasarkan kedudukan ranking dunia ketika ini, bekas juara remaja dunia 2015 itu adalah perseorangan wanita terbaik negara dengan menghuni kedudukan ke-26 dunia diikuti Sonia Cheah (29), Lee Ying Ying (54) dan S Kisona (58).

Biarpun mencabar, Jin Wei, 18, bagaimanapun mempunyai pengalaman beraksi sebagai perseorangan pertama.

Pada edisi dua tahun lalu di Kunshan, China, dia yang diturunkan sebagai perseorangan pertama ketika bertemu Sepanyol dalam aksi kumpulan hampir melakar kejutan sebelum tewas kepada pemain nombor lima dunia, Carolina Marin 18-21, 22-20, 16-21.

Dalam perlawanan itu Malaysia menang 3-2 ke atas Sepanyol.

“Mahu atau tidak, saya perlu bersedia. Saya tidak fikir ia beri tekanan sebaliknya saya akan cuba memberikan aksi terbaik dalam setiap perlawanan bagi menyumbangkan mata kepada pasukan,” kata Jin Wei.

Mengulas lanjut, Jin Wei berkata Malaysia adalah pasukan ‘underdog’ apabila diundi dalam Kumpulan D bersama juara bertahan, China, Indonesia dan Perancis.

Namun, pemain kelahiran Pulau Pinang itu menegaskan skuad negara tetap berpeluang untuk mara ke suku akhir.

“China memiliki dua pemain perseorangan dalam kelompok 10 terbaik dunia selain beregu wanita nombor satu dunia. Sudah pasti mereka adalah pasukan yang kuat dan seimbang. Indonesia pula pemain perseorangan mereka masih muda tetapi mereka mempunyai beregu berpengalaman.

“Dalam situasi ini, Malaysia adalah pasukan ‘underdog’. Namun, peluang untuk ke suku akhir tetap ada sekiranya semua memberikan komitmen yang tinggi dalam setiap perlawanan,” katanya.

Di Kunshan, Malaysia gagal melepasi peringkat kumpulan apabila tewas kepada China 0-5 dan Denmark 2-3.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 April 2018 @ 5:50 PM