STEVEN Sim (dua kiri) dan Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed (kiri) melihat kesan luka pada kaki Bekas Jaguh Lumba Basikal Negara, Ishak Alwi yang kehilangan kaki akibat penyakit kencing manis di Pandan Indah. FOTO Nurul Shafina Jemenon
STEVEN Sim (dua kiri) dan Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed (kiri) melihat kesan luka pada kaki Bekas Jaguh Lumba Basikal Negara, Ishak Alwi yang kehilangan kaki akibat penyakit kencing manis di Pandan Indah. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Ferzalfie Fauzi


KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang meneliti beberapa nama untuk dipertimbangkan  mengisi kekosongan jawatan pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB).

Timbalan Menterinya, Steven Sim berkata, perkara itu masih lagi dalam perbincangan antara pihaknya bersama yayasan berkenaan selepas jawatan itu dikosongkan oleh bekas pemain skuasy negara, Azlan Iskandar sejak pertengahan Oktober lalu.

"Komen lanjut mengenai perkara ini boleh diajukan kepada YAKEB sendiri namun saya gembira kerana yayasan ini sangat berfungsi dalam menjaga kebajikan bekas atlet kita.

“Jadi, saya memberi jaminan kerajaan akan mengekalkan yayasan ini untuk menjaga kebajikan bekas atlet. Malah kita mahu semua atlet mampu menjalani kehidupan lebih sempurna selepas bersara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat dan menyerahkan sumbangan kepada bekas pelumba berbasikal negara, Ishak Alwi yang kehilangan kakinya akibat kencing manis di Pandan Indah, hari ini.

Sebelum ini, bekas jaguh pecut negara, Datuk Rabuan Pit menggesa KBS melantik segera Pengerusi YAKEB 

bagi membawa yayasan itu keluar daripada belenggu kewangan sekali gus memastikan nasib bekas atlet mendapat pembelaan sewajarnya.

Menurutnya, tindakan itu perlu disegerakan memandangkan ketika ini YAKEB berdepan masalah kekurangan dana yang kritikal.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Disember 2018 @ 7:51 PM