ZUHAIRI (tiga kanan) menziarahi Awang di rumahnya di Kampung Telipot. FOTO Nik Abdulah Nik Omar
ZUHAIRI (tiga kanan) menziarahi Awang di rumahnya di Kampung Telipot. FOTO Nik Abdulah Nik Omar
Mohd Zulkifli Zainuddin


KOTA BHARU: Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) menafikan badan itu sudah tidak aktif seperti didakwa sesetengah pihak sebaliknya masih bergerak seperti biasa dalam menyalurkan perkhidmatan kepada bekas atlet.

Pengurus Besar YAKEB, Zuhairi Abd Manaf berkata, pelbagai aktiviti dijalankan badan itu, cuma tidak diwar-warkan bagi menjaga sensitiviti keluarga bekas atlet yang enggan situasi dihadapi mereka dimaklumkan kepada umum.

Beliau berkata, misalnya hari ini, pihaknya menziarahi dan menyalurkan bantuan peralatan keperluan kepada tiga bekas pemain bola sepak negara era70-an yang terlantar sakit di rumah mereka, di negeri ini.

"Bagaimanapun, kita tidak menafikan YAKEB mengalami masalah dana sehingga menyebabkan bantuan pembiayaan rawatan di hospital swasta bagi 3,000 ahli terpaksa ditangguhkan. Namun masih ada bantuan YAKEB boleh salurkan kepada mereka.

"Saya juga mahu tegaskan usaha pihak pengurusan YAKEB untuk mendapatkan dana tidak akan berhenti dan kami sedang mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan bagi mendapatkan bantuan peruntukan.

"Buat masa ini, kita menerima dana segera sebanyak RM250,000 daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada Oktober lalu untuk pengurusan sehingga bulan ini," katanya ketika ditemui selepas menziarahi bekas pemain bola sepak negara, Awang Essa, 72, yang terlantar sakit tulang belakang sejak September lalu di rumahnya di Telipot, di sini, hari ini.

Akhbar baru-baru ini melaporkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Syaddiq Syed Abdul Rahman digesa meneliti aspek kebajikan bekas atlet negara yang kebanyakannya berusia dan terlantar sakit.

Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PSMM), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, YAKEB yang sebelum ini berperanan membantu bekas atlet perlu diaktifkan semula.

"Kami menguruskan dana daripada pelbagai sumbangan dan YAKEB tidak mempunyai peruntukan tetap daripada mana-mana kementerian, sebaliknya turut mengharapkan dana daripada individu dan badan korporat."

“Justeru, kami berhasrat untuk melancarkan Tabung Wira Sukan Negara tahun depan bagi membolehkan mana-mana pihak memberi sumbangan supaya dapat memastikan skim bantuan khas dapat diberikan kepada bekas atlet," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Disember 2018 @ 5:57 PM