ZAITON gesa YAKEB cari dana selain harapkan KBS. FOTO/FAIL
ZAITON gesa YAKEB cari dana selain harapkan KBS. FOTO/FAIL
Rodly Fadly


YAYASAN Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) tidak boleh bergantung penuh kepada bantuan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebaliknya perlu berusaha menambah dana sendiri bagi menampung keperluan badan itu.

Persuruhjaya Sukan Malaysia, Datuk Zaiton Othman berkata, langkah itu perlu dilakukan bagi mengelak yayasan berkenaan kekeringan dana sebagaimana dihadapi sekarang.

“Untuk pastikan pentadbiran berjalan lancar, sedikit dana daripada kerajaan memang diperlukan. Namun, sebagai sebuah yayasan, YAKEB juga perlu sentiasa berusaha menambah tabung mereka.

“Banyak cara boleh dilakukan untuk mencari dana. Contohnya, buat perlawanan amal antara legenda bola sepak negara dengan menteri kabinet atau dengan artis bagi tujuan mengutip derma.

“Selain itu, mereka juga boleh membuat larian amal, konsert serta jamuan makan malam untuk menambah dana. Juga, mungkin juga mengeluarkan air mineral atas jenama YAKEB.

“Mereka juga  boleh mengusahakan projek gerai-gerai jualan atau tender-tender yang bersesuaian untuk YAKEB.

“Mungkin juga mereka boleh melancarkan tabung bantuan atlet dengan menyasarkan rakyat menderma hanya RM1 seorang. Pokoknya, YAKEB memang perlu lakukan sesuatu,” kata Zaiton yang juga merupakan bekas atlet.

Beliau memberi cadangan itu sebagai mengulas isu yang melanda YAKEB ekoran pendedahan yayasan itu kini sudah kekeringan dana sehingga terpaksa memberhentikan sementara program kebajikan dan bantuan perubatan kepada ahlinya mulai esok.

Menurut Ahli Lembaga Pemegang Amanah YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed, pihaknya terpaksa berbuat demikian selepas dana RM3 juta disalurkan KBS sudah habis dibelanjakan untuk membantu bekas atlet kebangsaan.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Ogos 2018 @ 12:37 PM