RINAWATI Halan menemani arwah suaminya, Raimi Jamil yang juga bekas penjaga gol negara. Foto STR/MALIK MUHAMAD.
RINAWATI Halan menemani arwah suaminya, Raimi Jamil yang juga bekas penjaga gol negara. Foto STR/MALIK MUHAMAD.
Malik Muhamad


“JANGAN buat bekas atlet negara seperti 'kain buruk'. Jika diperlukan ditatang bagai minyak yang penuh, jika tidak mahu dibuang begitu saja tanpa ada rasa belas kasihan sama ada masih bernyawa mahupun yang sudah tiada,"  kata balu bekas legenda bola sepak negara era 80-an, Raimi Jamil, Rinawati Halan.

Rinawati tampil memohon pihak Yayasan Kebajikan Bekas Atlet Kebangsaan (YAKEB) memikirkan semula langkah untuk menghentikan bantuan kebajikan dan perubatan kepada ahlinya, biarpun menghadapi 'krisis' dana kerana ia boleh menjejaskan imej sukan negara.

Beliau berkata, jika bantuan kepada bekas atlet dihentikan, impak kepada bekas atlet cukup besar dalam meneruskan kehidupan harian kerana tidak semua mereka mempunyai pendapatan tetap dan bekerja selepas bersara dalam arena sukan.

"Saya bercakap bukan dalam konteks sebagai atlet, tetapi sebagai isteri bekas atlet kerana ketika arwah suami terlantar di Hospital Sultanah Nur Zahirah dan menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara Kuala Lumpur, pihak YAKEB yang banyak membantu, selain kerajaan negeri dan kenalan arwah suami serta beberapa pihak lain.

"Oleh itu saya berpendapat program itu tidak sepatutnya dihentikan biarpun mengalami masalah dana kerana ia membantu meringankan beban atlet terutama yang mempunyai masalah kesihatan. Biarpun sumbangan nampak kecil, tetapi di mata penerima begitu besar sekali.

"Sumbangan itu juga sebagai tanda penghargaan dan pengorbanan atlet kepada negara kerana kita tidak tahu penat lelah dan jerih perih mereka sebelum berjaya mengharumkan nama negara di persada antarabangsa," katanya.

Justeru Rinawati berkata, Kementerian Belia dan Sukan wajar menyalurkan peruntukan segera kepada YAKEB bagi memastikan program berkenaan dapat diteruskan.

"Selain itu saya juga mengharapkan simpati YAKEB supaya segera menyalurkan bantuan kepada saya sebanyak RM5,000 sebagaimana dijanjikan selepas kematian suami pada Mac lalu kerana sehingga kini masih belum mendapat bayaran itu biarpun sudah beberapa bertanya," kata Rinawati.

Semalam, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, YAKEB mungkin terpaksa menghentikan sementara program kebajikan dan bantuan perubatan kepada semua bekas atlet negara mulai Rabu ini susulan kehabisan dana.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Ogos 2018 @ 5:42 PM