SAMAH  sekarang mampu berjalan menggunakan kaki palsu dan kerusi roda didermakan oleh YAKEB yang mana nilai keseluruhannya kira-kira RM10,000.
SAMAH sekarang mampu berjalan menggunakan kaki palsu dan kerusi roda didermakan oleh YAKEB yang mana nilai keseluruhannya kira-kira RM10,000.
Rodly Fadly


Kuala Lumpur: Bekas jaguh angkat berat kebangsaan, Samah Ali berharap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dapat meneruskan peruntukan kewangan kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) demi kelangsungan hidup atlet yang pernah berjasa kepada negara.

Samah salah seorang penerima bantuan YAKEB berkata adalah sesuatu yang menyedihkan jika nasib bekas atlet tidak mampu lagi dibela oleh badan berkenaan gara-gara kehabisan dana sedangkan ia amat diperlukan oleh mereka.

“Bekas atlet seperti saya tidak mempunyai apa-apa selepas bersara kecuali pencen sebagai pesara yang sekadar cukup makan. Ada juga yang dulu bekerja swasta dan tidak ada pencen.

“Jadi, YAKEB menjadi tempat penggantungan kami terutama bila membabitkan bantuan perubatan. Saya sendiri sekarang mampu berjalan menggunakan kaki palsu dan kerusi roda didermakan oleh YAKEB yang mana nilai keseluruhannya kira-kira RM10,000.

“Kalaulah YAKEB sudah tidak mampu lagi membantu, pada siapa lagi kami hendak mengadu. Oleh itu, saya harap masalah ini hanya sementara dan KBS dapat meneruskan peruntukan sebagaimana sebelumnya,” ujar Samah.

Samah yang bersara selepas Sukan SEA Kuala Lumpur 1989 kini terpaksa menggunakan kerusi roda dan kaki palsu untuk bergerak apabila kaki kirinya dipotong paras betis pada 2011 akibat komplikasi penyakit kencing manis.

Semalam, YAKEB mendedahkan mereka mungkin terpaksa memberhentikan sementara program kebajikan dan bantuan perubatan kepada semua bekas atlet negara mula Rabu ini susulan kehabisan dana.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, YAKEB juga akan menghentikan pengeluaran surat jaminan (GL) kepada mana-mana bekas atlet yang ingin menjalani pembedahan dan mendapatkan rawatan di hospital kerajaan dan swasta.

Menurutnya, pihaknya terpaksa berbuat demikian selepas dana RM3 juta setahun disalurkan kerajaan sudah dibelanjakan untuk membantu bekas atlet kebangsaan. Tindakan itu dijangka akan menjejaskan kira-kira 2,400 ahlinya yang memerlukan bantuan kewangan bagi tujuan perubatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Ogos 2018 @ 12:39 PM