PELUMBA trek negara, Azizulhasni Awang. FOTO NSTP
PELUMBA trek negara, Azizulhasni Awang. FOTO NSTP
Azlan Muhammad Zain


KUALA LUMPUR: Barisan pelumba trek yang diketuai Azizulhasni Awang diharap mampu mengulangi pencapaian meraih sebutir pingat emas apabila turun menggalas cabaran negara pada Kejohanan Trek Asia ke-39 yang berlangsung di Jakarta, bulan depan.

The Pocketrocketman melakar rekod baru Asia dalam aksi kelayakan pecut individu sebelum meraih perak apabila kecundang kepada pelumba Jepun, Kazunari Watanabe di pentas final selain gangsa dalam acara keirin dalam kejohanan sama tahun ini di Nilai, Negeri Sembilan.

Jupha Somnet turut tersenarai ke Jakarta dengan pelumba kelahiran Perlis itu diharap mampu mempertahankan emas tunggal yang diraih skuad negara menerusi acara perlumbaan mata.

"PKBM tidak meletakkan sebarang sasaran tertentu namun berharap mereka mampu mengulangi pencapaian tahun ini.

"Malah kami sedar tumpuan utama pelumba elit negara adalah mengumpul mata untuk kelayakan Olimpik Tokyo 2020 terutamanya dalam acara pecut berpasukan," kata Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Wahab.

Menurutnya, selain Jepun, Korea Selatan dan China yang sentiasa memberikan tentangan di peringkat Asia, barisan pelumba negara turut perlu berwaspada terhadap tentangan tuan rumah, Indonesia yang sudah pastinya mahu membuktikan kemampuan apabila beraksi di laman sendiri.

Selain Azizulhasni dan Jupha, turut tersenarai adalah Shah Firdaus Sahrom, Mohd Fadhil Zonis, Fatehah Mustapa, Farina Shawati Mohd Adnan dan Anis Amira Rosidi bagi kategori pecut dengan saingan menawarkan mata berganda kepada pemenang sekali gus mampu mengukuhkan kedudukan ranking ke Olimpik Tokyo.

Manakala kategori endurance menyaksikan pemenang emas kategori remaja dalam acara kejar-mengejar individu edisi 2018, Zulhelmi Zainal turut beraksi buat kali pertama dalam kategori elit selain Eiman Firdaus Mohd Zamri dan Muhammad Hakimi Nor.

Saingan di Velodrom Antarabangsa Jakarta, Rawamangun yang bermula dari 8 hingga 13 Januari itu dilangsungkan serentak bersama edisi ke-26 Kejohanan Trek Remaja Asia dan Kejohanan Para Asia keenam.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Disember 2018 @ 5:01 PM