SHAQIRI membuat 125 penampilan antarabangsa dan menjaringkan 32 gol bersama Switzerland. FOTO AFP
SHAQIRI membuat 125 penampilan antarabangsa dan menjaringkan 32 gol bersama Switzerland. FOTO AFP
AFP

Geneva: Xherdan Shaqiri mengumumkan persaraannya daripada bola sepak antarabangsa selepas beraksi 125 perlawanan bersama Switzerland dan muncul pemain tunggal menjaringkan gol dalam setiap satu daripada tiga Piala Dunia dan Kejohanan Eropah (Euro).

Shaqiri, 32, yang kini beraksi bersama kelab Chicago Fire di Amerika Syarikat (AS) adalah pemain kedua terbanyak beraksi buat Switzerland di belakang rakan sepasukan, Granit Xhaka yang bermain 130 kali.

Bekas pemain sayap Bayern Munich dan Liverpool itu melakukan penampilan sulung antarabangsanya pada Mac 2010 pada usia 18 tahun.

Dia mewakili negaranya dalam empat Piala Dunia dan tiga Euro.

Dalam perlawanan terakhirnya bersama Nati, Shaqiri menjaringkan gol ketika penentuan sepakan penalti apabila England mengalahkan Switzerland 5-3 selepas seri 1-1 pada suku akhir Euro 2024 di Duesseldorf, 6 Julai lalu.

"Tujuh kejohanan, banyak gol, 14 tahun bersama pasukan kebangsaan Switzerland dan detik tidak boleh dilupakan. Ia masanya untuk mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan kebangsaan. Memori hebat terpahat dan saya ucapkan kepada anda semua: terima kasih!", tulisnya dalam laman sosial.

Shaqiri bersara dengan reputasi penjaring gol keempat terbanyak Switzerland dengan 32 gol, di belakang Alexander Frei dengan 42 serta Kubilay Turkyilmaz dan Max Abegglen, masing-masing dengan 34 gol.

Gol terakhirnya di peringkat antarabangsa hadir pada Euro 2024 iaitu gol penyamaan dari luar kotak penalti ketika Switzerland seri 1-1 dengan Scotland di peringkat kumpulan.

Jaringan itu bermakna dia satu-satunya pemain yang menyumbat gol dalam tiga Piala Dunia terakhir dan tiga Euro terakhir.

Dilahirkan pada 1991 di Kosovo yang ketika itu sebahagian daripada Yugoslavia, keluarganya berpindah ke Switzerland pada 1992.

Di sebalik kejayaan di peringkat antarabangsa, Shaqiri memenangi trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan Piala Dunia Kelab bersama Bayern Munich dan Liverpool, termasuk tiga kejuaraan Bundesliga dan satu Liga Perdana Inggeris (EPL).

Dia turut memenangi tiga gelaran Liga Switzerland pada awal penampilannya bersama Basel, selain menerruskan karier bersama Inter Milan, Stoke City dan Lyon.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2024 @ 10:08 AM