KANAK-KANAK ditahan kerana disyaki terbabit kegiatan curi motosikal di sekitar Melaka. FOTO Ihsan PDRM
KANAK-KANAK ditahan kerana disyaki terbabit kegiatan curi motosikal di sekitar Melaka. FOTO Ihsan PDRM
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Mengejutkan apabila enam kanak-kanak dan remaja lelaki berusia 13 hingga 17 tahun termasuk dua pelajar ditahan polis kerana mendalangi sindiket curi motosikal di sekitar negeri ini, yang dikenali 'Geng Botak'.

Difahamkan, geng ini yang aktif sejak Januari lalu disyaki terbabit sekurang-kurangnya enam kes curi motosikal.

Timbalan Ketua Polis Melaka, Senior Asisten Komisioner Md Nazri Zawawi berkata, kumpulan diketuai seorang pelajar tingkatan satu dikenali sebagai 'Botak' dilumpuhkan menerusi operasi Op Lejang dijalankan Cawangan D4 (Risikan/Operasi/Rekod Jenayah), Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah.

Menurutnya, operasi dijalankan pada 4 hingga 7 Julai lalu dan menahan enam kanak-kanak dan remaja berumur 13 hingga 17 tahun di beberapa lokasi di sekitar negeri ini iaitu di Jalan Semabok dan Taman Bidara Setia, Masjid Tanah.

Katanya, siasatan polis mendapati sindiket ini bergiat aktif sejak Januari 2024 dan modus operandi mereka adalah menyasarkan motosikal diletakkan di luar rumah tidak berpagar.

"Dengan penahanan semua individu ini, polis percaya sudah berjaya menyelesaikan enam kes kecurian motosikal di sekitar Melaka.

"Menerusi serbuan dan tangkapan yang dilakukan, kita turut merampas enam motosikal yang dilaporkan hilang termasuk sebuah motosikal digunakan oleh sindiket ini untuk tujuan melakukan kegiatan mencuri motosikal lain," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Md Nazri berkata, siasatan polis mendapati motosikal yang dicuri iaitu Yamaha 15ZR, Yamaha 135 LC dan Modenas Kriss juga digunakan untuk kegunaan sendiri dan rakan sindiket ini.

Katanya, polis turut melakukan ujian saringan awal air kencing dan mendapati semua mereka bebas dari sebarang penyalahgunaan dadah dan dua daripada individu yang ditahan masih bersekolah.

"Semakan rekod yang dijalankan juga mendapati semua mereka tiada sebarang rekod lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri kenderaan.

"Seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih tujuh tahun dan boleh juga didenda, jika disabitkan kesalahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2024 @ 9:42 AM