Kuala Lumpur: Pelumba wanita negara Jupha Somnet (gambar) gagal meraih sebarang mata untuk ke Kejohanan Dunia dan Olimpik Rio walaupun menguasai perlumbaan omnium semalam.

Hanya lima peserta (dari Malaysia dan Indonesia) saja yang bersaing sekali gus tujuan utama membantu pelumba berkenaan meraih mata di Grand Prix Asia Tenggara 2015 tidak kesampaian.

Berbanding Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa yang berjaya meraih mata yang diharapkan dalam acara pecut, sebaliknya berlaku kepada Jupha apabila terpaksa berputih mata.

“Sebarang perlumbaan perlu membabitkan sekurang-kurangnya empat negara namun hanya pelumba dari Malaysia dan Indonesia yang bertanding hari ini (semalam).

“Ini adalah kerugian kerana kejohanan ini sepatutnya menjadi medan untuk Jupha menambah pungutan mata,” kata jurulatih wanita negara Rizal Tisin.

Jupha tampil cemerlang di Velodrom Kuala Lumpur di Cheras semalam apabila menjuarai tiga acara yang dipertandingkan dan baki tiga lagi acara akan berlangsung hari ini bagi menentukan pemenang.

Rizal berkata, Jupha kini berada pada kedudukan kelima atau keenam Asia dan sememangnya memerlukan mata untuk mengukuhkan kedudukannya bagi melayakkan diri ke Kejohanan Trek Dunia dan Olimpik Rio.

“Saya berharap perlumbaan Siri Kedua pada Jumaat dan Sabtu mampu memberikan mata. Mungkin apabila pelumba Kazakhstan dan Singapura tiba esok (hari ini), mereka akan menyertai acara ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2015 @ 8:36 AM