FAM bakal mengadakan sidang media khas petang ini yang dijangka turut membabitkan kedudukan Pan-gon. FOTO ARKIB NSTP
FAM bakal mengadakan sidang media khas petang ini yang dijangka turut membabitkan kedudukan Pan-gon. FOTO ARKIB NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bakal mengadakan satu sidang media khas pada 2 petang hari ini dan ia dikhabarkan mengenai skuad Harimau Malaya.

Difahamkan kemungkinan satu rombakan membabitkan barisan kejurulatihan negara bakal diumumkan termasuk kedudukan ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon.

Arena Metro cuba menghubungi pegawai tertinggi FAM, namun enggan mengulas dan meminta menunggu hingga sidang media petang ini.

Begitupun beberapa sumber memaklumkan ia membabitkan perubahan dalam staf kejurulatihan negara.

Sebelum ini, media tempatan pernah melaporkan Pan-gon menyerahkan surat peletakan jawatan sebaik berakhirnya Piala Asia 2022 di Qatar, Januari lalu.

Namun, ia dinafikan FAM dan Pan-gon sendiri yang mengakui tetap kekal bersama pasukan hingga kontraknya berakhir hujung tahun depan.

Malah, jurulatih dari Korea Selatan itu turut membimbing pasukan mengharungi empat aksi Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada Mac dan Jun lalu.

Dalam empat aksi itu, skuad negara tewas dua kali kepada Oman, seri dengan Kyrgyzstan dan menang ke atas Taiwan untuk mengakhiri kedudukan di tangga ketiga kumpulan, sekali gus gagal mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2024 @ 9:43 AM