GIROUD (kiri) berebut bola dengan pemain pertahanan Sepanyol, Aymeric Laporte pada perlawanan separuh akhir Euro 2024 di Munich, 9 Julai lalu. FOTO AFP
GIROUD (kiri) berebut bola dengan pemain pertahanan Sepanyol, Aymeric Laporte pada perlawanan separuh akhir Euro 2024 di Munich, 9 Julai lalu. FOTO AFP
AFP

Paris: Penjaring gol terbanyak sepanjang zaman Perancis, Olivier Giroud mengesahkan persaraan daripada bola sepak antarabangsa, semalam, yang menyaksikan dia menjaringkan 57 gol dalam 137 penampilan.

"Saat yang digeruni sudah tiba: saat untuk menyatakan selamat tinggal kepada pasukan kebangsaan Perancis," tulis Giroud dalam Instagram (IG).

"Kami menjadi kelompok rakan sepasukan yang tidak dapat dipisahkan di bawah pengawasan seorang lelaki: jurulatih Didier Deschamps, terima kasih atas kepercayaannya terhadap saya. Di sebalik jatuh bangun kami, beliau membolehkan saya muncul penjaring gol terbanyak sepanjang zaman Les Bleus.

"Pasukan Perancis yang saya wakili selama 13 tahun akan sentiasa terpahat di hati. Ia adalah kebanggaan terbesar dan ingatan terindah saya," jelas pemain berusia 37 tahun itu.

Sepanjang karier antarabangsanya, Giroud memenangi Piala Dunia 2018 serta naib juara Piala Dunia dan Kejohanan Eropah (Euro).

Dia memecah rekod jaringan gol Thierry Henry bersama skuad kebangsaan iaitu 51 gol di pusingan akhir Piala Dunia 2022 di Qatar, apabila Perancis terlepas trofi dimenangi pada 2018 kepada Argentina diketuai Lionel Messi apabila tewas menerusi penentuan sepakan penalti di final.

Giroud membuat penampilan sulungnya pada 2011 dan menjaringkan gol pertama pada perlawanan ketiga apabila dia meledak gol pembukaan ketika menang 2-1 ke atas Jerman pada aksi persahabatan.

Dia menjaringkan gol terakhir daripada 57 gol buat skuad Perancis pada Mac 2024 yang menjadi gol tunggal kemenangan tipis ke atas Chile.

Penyerang itu menyatakan pada Mei lalu, Euro 2024 adalah kejohanan utama terakhirnya di peringkat antarabangsa.

Dia membuat empat penampilan dari bangku simpanan ketika Perancis layak ke separuh akhir sebelum mereka tewas 1-2 kepada Sepanyol, yang muncul juara.

Bekas pemain Arsenal, Chelsea dan AC Milan itu akan menyertai kelab Major League Soccer (MLS), Los Angeles FC musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2024 @ 9:24 AM