VALTTERI BOTTAS
VALTTERI BOTTAS
Reuters

LONDON: Valtteri Bottas memiliki apa yang diperlukan untuk berjaya bersama juara Formula Satu Mercedes tetapi dia juga perlu membuktikan bahawa dia layak untuk bersama pasukan itu musim depan, kata prinsipal pasukan Toto Wolff.

Pelumba kelahiran Finland itu gagal merangkul kemenangan dalam aksi Grand Prix musim ini dan menamatkan saingan di kedudukan kelima keseluruhan dengan rakan pasukan dari Britain, Lewis Hamilton memenangi 11 perlumbaan dan menjadi pelumba ketiga merangkul lima gelaran juara dunia.

“Setiap pelumba dalam F1 perlu melihat kemampuannya. Ia sukan yang sangat kejam dan hanya yang terbaik mampu hidup dan meneruskan perjuangan dan mereka semua sedar akan hal itu,” kata Wolff.

“Kami sudah membuat pilihan antara 20 pelumba terbaik dunia dan setiap tahun mereka perlu membuktikan bahawa mereka layak untuk mendapatkan tempat itu. Bukan hanya Valtteri tapi mereka yang lain juga.”

Mercedes mempunyai Esteban Ocon, 22, dari Perancis sebagai pelumba simpanan untuk musim 2019 selepas dia kehilangan slotnya bersama Force India yang kini dikenali sebagai Racing Point kepada Lance Stroll dari Kanada.

Wolff bulan lalu berkata, Ocon akan melakukan kerja simulator dan beberapa ujian bagi membolehkan dia bersedia untuk kembali berlumba pada 2020. Sama ada dengan Mercedes atau pasukan lain yang menggunakan enjin yang sama, masih lagi perlu dikaji.

Bottas berkata, pada akhir musim ini dia hanya mahu pulang ke rumah, berehat dan kembali semua dengan lebih bersemangat tahun depan. Wolff menjangkakan pelumba berusia 29 tahun itu mampu melakukannya.

“Valtteri seorang pejuang dan dia tidak akan mampu berada di mana dia berada hari ini jika dia bukan seorang pelumba yang luar biasa. Saya rasa dia akan menyahut cabaran untuk menjadi rakan pasukan dan pesaing sengit kepada Lewis Hamilton,” katanya.

“Saya rasa apa yang tidak kena dengan Valtteri pada 2018 adalah tuah tidak memihak kepadanya. Dia boleh menang tapi ianya tidak dikira.

Grand Prix Azerbaijan Baku antara tamparan hebat baginya apabila kemenangan Bottas dinafikan kerana tayar pancit ketika perlumbaan berbaki tiga pusingan. Jika dia menang di sana dan bukannya Hamilton, dia akan mampu untuk memimpin kejuaraan.

Selepas tidak berjaya, dia kemudiannya terpaksa membantu kemenangan Hamilton dan ia bukan mudah bagi rakan sepasukan.

“Saya fikir setiap pelumba perlu bersedia dengan apa saja kemungkinan dan itu yang terjadi kepada Valtteri dan dia perlu berusaha keras sepanjang musim sejuk ini dan bermula dengan semangat baru musim depan,” kata Wolff.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Disember 2018 @ 11:07 AM