LEWIS HAMILTON
LEWIS HAMILTON

 

LONDON: Bos Mercedes, Toto Wolff tetap gembira dengan kejayaan Lewis Hamilton menjuarai Grand Prix Russia, semalam walaupun dipalit kontroversi.

Hamilton akan mengharungi baki lima pusingan dengan mendahului 50 mata ke atas pelumba pasukan Ferrari, Sebastian Vettel susulan kejayaannya di Sochi Autodrom.

Pelumba berusia 33 tahun itu memecut dari belakang Valtteri Bottas sebelum pasukan Mercedes mengarahkan pelumba kelahiran Finland berkenaan memberikan laluan kepada rakan sepasukannya itu.

Mercedes jarang menggunakan sistem pesanan pasukan, dan hanya melakukannya kerana bimbang Hamilton akan terdedah cabaran daripada Vettel, sekali gus menafikan kejuaraan Bottas.

“Jika lima atau tiga mata dilepaskan, anda mungkin melakukan tindakan paling bodoh di planet ini dengan membiarkan Valtteri menamatkan perlumbaan,” kata Wolff.

“Seseorang perlu menjadi orang jahat dan ia adalah saya hari ini.

“Anda perlu mempertimbangkan untuk menjadi orang jahat pada petang Ahad, bagi tujuan yang betul atau menjadi orang bodoh di Abu Dhabi pada akhir musim. Saya lebih suka menjadi orang jahat hari ini.”

Hamilton dilihat memilih untuk tidak meraikan kejuaraannya yang ke-70 kerana kejayaan dengan cara itu bukan yang dimahukan.

Dia kemudian berusaha menghiburkan Bottas dan kemudian menjemput rakan sepasukannya itu untuk bersama berada di kedudukan teratas podium.

“Ia bukan perasaan yang hebat,” kata Hamilton. “Saya sebenarnya tidak fikir menamatkan perlumbaan di tempat pertama.

“Hanya masa yang akan menjelaskannya, tapi jika kami tewas hanya dengan satu mata, adakah anda akan melihat kembali perlumbaan ini dan fikir kita sepatutnya bekerja sebagai satu pasukan?”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Oktober 2018 @ 6:40 PM