PENGURUS Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino jadi buruan Manchester United. FOTO Reuters
PENGURUS Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino jadi buruan Manchester United. FOTO Reuters
Reuters

LONDON: Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino tampil sebagai calon pilihan untuk menggantikan Jose Mourinho yang dipecat sebagai pengendali Manchester United.

Pochettino sudah lama menjadi buruan United berikutan corak permainan menyerang yang diterapkan serta kecemerlangannya meningkatkan kualiti pemain muda berbakat tetapi perkara itu kekal sebagai khabar angin sejak persaraan Sir Alex Ferguson pada 2013.

Tetapi selepas penyingkiran Mourinho, United mungkin menggerakkan usaha untuk mendapatkan bos Spurs itu yang buat kali ketiga berturut-turut membimbing kelabnya menamatkan saingan Liga Perdana di kedudukan ketiga terbaik.

Sekalipun masih belum berjaya menghadiahkan trofi buat Spurs, pengendali dari Argentina itu menjadi pilihan utama berbanding bekas pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane yang sebelum ini cemerlang mengemudi gergasi Sepanyol itu menjulang gelaran Liga Juara-Juara buat kali ketiga berturut-turut.

Bekas pemain tengah United, Michael Carrick, yang kini turut melatih kelab berkenaan juga dinamakan sebagai calon pengganti selain bekas jurulatih Monaco, Leonardo Jardim.

Mungkin ia agak aneh bagi sesetengah peminat United tetapi bekas pengurus Arsenal, Arsene Wenger turut diletakkan sebagai calon berpotensi selain pengurus Bournemouth, Eddie Howe.

United bagaimanapun mengesahkan mereka akan melantik pengendali sementara ketika proses pencarian pengurus sepenuh masa berjalan dengan bekas pengurus Chelsea, Antonio Conte turut berpeluang cerah memegang tanggungjawab berkenaan.

Ini kerana Pochettino tidak mudah dipikat dengan United dijangka memerlukan dana yang besar untuk membawanya ke Old Trafford selepas beliau baru saja menandatangani kontrak lima tahun di Spurs dengan nilai sekitar AS$11 juta dolar (RM45.84 juta).

Beliau juga pada minggu lalu menyuarakan rasa gembiranya di Tottenham dan teruja untuk mengemudi pasukannya di gelanggang baharu tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Disember 2018 @ 8:36 PM