NUNO Espirito Santo. FOTO AFP
NUNO Espirito Santo. FOTO AFP
Agensi

London: Pelantikan Nuno Espirito Santo sebagai pengurus Tottenham bertukar kepada mimpi ngeri, kata bekas penyerang Liga Perdana, Chris Sutton.

Spurs menduduki tangga teratas selepas tiga perlawanan susulan kemenangan 1-0 ke atas lawan masing-masing namun kekalahan 1-3 di tangan Arsenal adalah kekalahan ketiga berturut-turut mereka.

Keputusan itu susulan daripada kekalahan 0-3 kepada Crystal Palace dan Chelsea.

"Dia perlu memenangi hati penyokong Spurs dan saya tidak pasti dia mampu melakukannya," kata Sutton.

"Dia bukan pilihan pertama atau kedua. Musim lalu pasukan Wolves yang dibimbingnya mengalami penurunan prestasi dan penyokong Spurs tidak akan menggemari gaya bola sepaknya.

"Jelas sekali dia meletakkan Spurs dalam situasi sangat sukar musim ini."

Tottenham mencari pengurus baharu pada musim panas lalu susulan pemecatan Jose Mourinho.

Spurs menghubungi pengurus Paris St-Germain, Mauricio Pochettino mengenai kemungkinan pengendali dari Argentina itu kembali membimbing Spurs namun kelab gergasi Perancis itu enggan melepaskannya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 September 2021 @ 9:51 AM