POCHETTINO (kiri) tiada tekanan berdepan anak buah Mourinho. FOTO/AGENSI
POCHETTINO (kiri) tiada tekanan berdepan anak buah Mourinho. FOTO/AGENSI
AFP

MANCHESTER: Tumpuan kini terarah kepada pengurus Manchester United, Jose Mourinho yang perlu menghadirkan keputusan positif selepas seminggu dipalit aib apatah lagi kali ini beliau akan berdepan pengendali yang terkenal dengan sikap sebagai lelaki budiman, Mauricio Pochettino.

Ketika Mourinho dilihat mengalami krisis dengan naib pengerusi, Ed Woodward serta pemain utama seperti Paul Pogba, Pochettino pula dengan senang hati membawa anak buahnya di Tottenham ke utara menerusi rekod bersih setakat ini.

Pochettino dijangka tidak akan bersimpati dengan nasib Mourinho yang mendakwa beliau tidak mendapat sokongan penuh Woodward ketika jendela perpindahan pemain dan hanya berjaya membawa masuk pemain Brazil, Fred serta pertahanan, Diogo Dalot.

Tottenham muncul pasukan pertama di Liga Perdana yang gagal membeli pemain dan Pochettino pula sudah membuktikan kemampuannya untuk mengendalikan skuad walaupun hanya dengan pemain sedia ada.

Pochettino juga dilihat tidak bimbang walaupun stadium baru mereka gagal disiapkan mengikut jadual dan terpaksa beraksi sekurang-kurangnya empat perlawanan di Wembley.

Sikap itu jauh berbeza dengan Mourinho yang sering merungut tetapi rekod pertemuan anak buah Pochettino setakat ini agak cemerlang selepas menang ke atas Newcastle dan Fulham.

Persoalannya, adakah Woodward kecewa kerana tidak membawa masuk Pochettino sebaliknya memilih untuk menawarkan kontrak kepada Mourinho dua tahun lalu.

Spekulasi mengenai perpindahan ke Manchester pernah dikaitkan dengan Pochettino sebelum ketibaan Mourinho dan ia dikukuhkan lagi apabila bekas pengurus United, Alex Ferguson makan tengah hari dengan pengendali Spurs itu pada Mac 2016.

Pochettino menyifatkan pertemuan itu sebagai ‘mimpi yang menjadi kenyataan’ tetapi beliau kini mengendalikan sekumpulan pemain muda berbakat di Spurs apatah lagi baru menandatangani kontrak lanjutan selama lima tahun.

Bagaimanapun, ketika Pochettino menjana kejayaan buat Spurs sejak empat tahun lalu, mereka tetap gagal di Old Trafford.

Tottenham tewas semua empat perlawanan terakhir di stadium berkenaan dan lebih memburukkan keadaan, mereka tidak pernah berjaya menjaringkan gol di situ.

“Ia bukan rekaan. Ia realiti. Kami tewas semua empat perlawanan, kami tidak menjaringkan gol, kami tidak pernah membawa pulang mata,” kata Pochettino.

“Memang banyak perkara negatif tetapi anda perlu percaya dan saya sendiri percaya bahawa kami mampu menang. Kami akan keluar sebagai pemenang.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Ogos 2018 @ 10:24 AM