MOURINHO (kanan) bersama Kane ketika sesi latihan di Hotspur Way. — FOTO Tottenham Hotspur
MOURINHO (kanan) bersama Kane ketika sesi latihan di Hotspur Way. — FOTO Tottenham Hotspur
Reuters

PENGENDALI baharu Tottenham Hotspur, Jose Mourinho sedia mengemudi kelab yang diketuai penyerang England, Harry Kane ke satu tahap berikutnya dengan memenangi trofi dan menyatakan beliau mahu memegang jawatan itu sekurang-kurangnya selama pengurus yang dipecat Mauricio Pochettino.

Warga Portugis berusia 56 tahun itu dilantik sebagai ketua jurulatih Spurs Rabu lalu sehari selepas Pochettino, yang menghabiskan lima setengah tahun di kelab utara London itu, dipecat dengan pasukannya terjerumus di tangga ke-14 Liga Perdana Inggeris.

Bagaimanapun, jurulatih dari Argentina yang menjadi kegemaran peminat gagal meraih sebarang trofi sekalipun memiliki skuad penuh dengan pemain antarabangsa dan hakikat itu mahu diubah Mourinho yang bertandang ke West Ham United, malam ini.

Ditanya sama ada beliau perlu mengekalkan Kane untuk membawa kejayaan ke Tottenham, beliau memberitahu sekelompok wartawan di pusat latihan kelab itu: “Apabila anda cuba membeli Kane ia satu misi mustahil. Dia seorang daripada penyerang terbaik di dunia.

MOURINHO melayan soalan wartawan di Hotspur Way. — FOTO Tottenham Hotspur
MOURINHO melayan soalan wartawan di Hotspur Way. — FOTO Tottenham Hotspur

“Anda hanya perlukan pasukannya – England atau Tottenham – untuk bersamanya ke satu tahap berikut. Apa tahap berikut itu? Kejuaraan.

“Saya fikir dia perlu menang bersama kami, bersama England, dia perlu menang sesuatu untuk membuktikan kualiti dimilikinya sebagai pemain, gol yang dijaringkannya, apa sumbangannya kepada pasukan.”

Kane, 26, sudah menjaringkan 131 gol dalam 189 aksi Liga Perdana bersama Spurs selain 32 gol dalam 45 perlawanan buat England.

“Dengan skuad yang kami ada, dengan kualiti struktur kelab, kami boleh mempunyai impian,” kata Mourinho. “Saya tidak mahu pemain saya takut kepada apa-apa. Kami akan memberikan segala-galanya menentang setiap orang.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 November 2019 @ 9:16 AM