VERSRAPPEN perlu menjalankan khidmat awam. FOTO/AGENSI
VERSRAPPEN perlu menjalankan khidmat awam. FOTO/AGENSI
Agensi

LONDON: Max Verstappen mungkin akan diminta menjalankan tugas bersama steward perlumbaan daripada kategori sukan permotoran berbeza sebagai sebahagian daripada hukuman khidmat awam yang dikenakan ke atasnya.

Pemandu Red Bull itu dikenakan hukuman untuk menjalani khidmat awam selama dua hari selepas menyerang pemandu Force India, Esteban Ocon berikutan insiden kemalangan membabitkan kedua-dua pemandu itu di Grand Prix Brazil bulan lalu.

Verstappen yang ketika itu memimpin saingan, cuba untuk memintas Ocon namun kedua-duanya berakhir dengan terbabas ke tepi litar sekali gus menyaksikan Lewis Hamilton memenangi perlumbaan manakala Verstappen hanya berpuas hati di tempat kedua.

Dia kemudian dilihat menyerang Ocon di paddock selepas perlumbaan sebelum dikenakan hukuman.

Verstappen berkata dia tidak mahu melaksanakan hukuman yang boleh dilihat seperti seorang yang bodoh tetapi Presiden FIA, Jean Todt menegaskan hukuman itu lebih bersifat untuk memberi sokongan kepada perlumbaan Formula Satu (F1).

“Ia sesuatu yang jarang berlaku tetapi apabila anda didedahkan dengan perkara seperti ini, ia memberikan anda rasa lebih bertanggungjawab.

“Bermakna apa saja yang menganggu emosi, anda seharusnya bijak mengawal situasi itu dan menghormati peminat serta menjaga percakapan.

“Jika tidak, anda akan berdepan sebarang kemungkinan dan hukuman itu adalah kecil saja.

“Apakah hukuman itu? Secara jujur belum ada kata putus lagi. Tapi jelas ia perlu berkait dengan membantu perkembangan perlumbaan F1.

“Mungkin sumbangan itu dengan bekerjasama bersama steward atau pegawai ketika sesi latihan.

“Mungkin juga dia boleh menyertai steward untuk tugas dalam sukan permotoran berbeza sekali gus memberi kesedaran kepada anda bahawa tugas itu bukan mudah.

“Tapi saya yakin kami akan menemui program yang sesuai untuknya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Disember 2018 @ 12:28 PM