VERSTAPPEN meraikan kejayaan memenanggi GP Jepun, sekali gus mengekalkan gelaran juara dunia F1. FOTO AP
VERSTAPPEN meraikan kejayaan memenanggi GP Jepun, sekali gus mengekalkan gelaran juara dunia F1. FOTO AP
AFP

Suzuka, Jepun: Max Verstappen berkata, ia adalah 'perasaan gila' apabila mengekalkan gelaran juara dunia Formula Satu (F1) dengan penuh dramatik, hari ini.

Pelumba Red Bull itu memenangi Grand Prix (GP) Jepun yang dipendekkan kerana hujan sebelum menyaksikan pencabar terdekatnya dari Ferrari, Charles Leclerc disingkirkan ke tempat ketiga kerana dikenakan penalti lima saat.

Keputusan itu memastikan pelumba Belanda itu mendahului dengan kelebihan 113 mata, menjadikannya sebagai pelumba ketiga selepas Michael Schumacher dan Sebastian Vettel yang muncul juara dunia ketika berbaki empat perlumbaan.

Leclerc sebelum itu melintasi garisan penamat di tempat kedua di depan seorang lagi pemandu Red Bull, Sergio Perez, tetapi dia dikenakan penalti lima saat selepas cuba menghimpit pesaingnya itu.

Verstappen hanya mengetahui dia menjadi juara dunia ketika temuramah selepas perlumbaan dengan dia sendiri tidak pasti sama ada sudah sah menjuarai F1 musim ini.

"Ia perasaan yang gila kerana saya tidak menjangkakannya (jadi juara dunia) apabila saya melintasi garisan penamat," katanya yang terkejut.

"Adakah saya hanya menerima separuh mata? Saya tidak tahu berapa banyak mata yang akan saya dapat. Saya gembira dengan perlumbaan ini."

Verstappen memenangi 12 daripada 18 perlumbaan pada 2022 dan mengucapkan terima kasih kepada pasukannya atas tahun yang 'menakjubkan'.

"Kejuaraan pertama lebih kepada emosi, tetapi kejuaraan kedua lebih indah.

"Ini tahun yang istimewa dan anda perlu sentiasa ingatkan diri sendiri bahawa tahun seperti ini amat jarang untuk dinikmati."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2022 @ 7:30 PM