MAX VERSTAPPEN
MAX VERSTAPPEN
Reuters

MAGHRIBI: Pemandu Formula Satu Belanda Max Verstappen akan melakukan sebahagian daripada khidmat masyarakat, hukuman yang dikenakan oleh badan pengawal sukan itu kerana menyerang Esteban Ocon di Grand Prix Brazil tahun lalu, pada perlumbaan Formula E di Marrakesh.

Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) berkata, pelumba Red Bull berusia 21 tahun itu akan menyertai pegawai bertugas di Maghribi.

“Max Verstappen akan hadir di E-Prix Marrakesh hasil daripada keputusan steward di Grand Prix Brazil 2018,” kata kenyataan itu.

“Verstappen akan hadir sebagai pemerhati kepada tugas steward, mengikuti kerja mereka dalam saingan permotoran peringkat tertinggi sebagai sebahagian daripada pendekatan pendidikan dan informatif yang diambil oleh FIA dalam perkara itu.”

Pemenang paling muda dalam perlumbaan F1 itu diarahkan untuk melakukan khidmat masyarakat selama dua hari kerana menyerang pemandu Force India, Ocon November lalu.

Verstappen ketika itu mendahului saingan di Interlagos apabila cuba memintas pemandu tercorot, Ocon yang cuba mendapatkan kembali kedudukannya sehingga menyebabkan pelumba Belanda itu terbabas dan terlepas peluang untuk menang.

Pelumba Red Bull tidak berpuas hati dengan perkara itu dan menyerang Ocon selepas perlumbaan dan akhirnya dikenakan hukuman.

Verstappen kemudiannya berkata khidmat masyarakat yang diberikan perlulah bersesuaian.

“Saya pasti tidak mahu kelihatan bodoh kerana saya sudah dilayan buruk kerana itu,” kata Verstappen. “Jadi kita akan mencari sesuatu yang sesuai supaya saya tidak akan kelihatan seperti orang bodoh.”

Berkenaan perlumbaan elektrik sepenuhnya Formula E, Verstappen berkata ia mampu menjadi lebih menarik tetapi baginya dia lebih menggemari enjin petrol.

“Saya mungkin akan menjadi salah seorang daripada orang terakhir di dunia untuk mencuba dan membeli tong minyak terakhir,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 12:37 PM