VERSTAPPEN buru gelaran dunia buat kali pertama.
VERSTAPPEN buru gelaran dunia buat kali pertama.
Agensi

London: Pelumba Red Bull, Max Verstappen, 24, mendedahkan dia mungkin bersara daripada Formula Satu jika muncul juara dunia musim ini.

Bercakap kepada Radio 5 BBC semalam, Verstappen mengakui dan berpendapat menjuarai Kejohanan Pemandu Dunia adalah pencapaian terbaik di Formula 1.

Dia ditanya: "Jika anda dapat memenuhi sasaran menjadi juara dunia tahun ini, apa matlamat selepas itu?"

Dia berkata: "Dalam F1 mungkin kurang, anda sudah pun melengkapkannya dan ia mungkin tidak menjadi persoalan lagi atau berapa jumlah anda menang kerana anda telah pun memenanginya.

"Sudah tentu saya mahu menang lagi tetapi telah mencapainya dan itu sasaran terakhir. Saya bekerja keras untuk mencapainya selain berdepan banyak tekanan.

"Ya saya juga seronok berlumba, kemudian mungkin mula memikirkan untuk mencapai sesuatu di luar Formula 1."

Verstappen tampak tidak berminat untuk menjuarai banyak gelaran dunia, tidak seperti pencabarnya, Lewis Hamilton, 36, yang muncul juara dunia tujuh kali dan kini memburu trofi kelapan.

Kejuaraan sulung Verstappen semakin hampir selepas menang di Austin dan Mexico City tetapi Hamilton mengurangkan jurang mata selepas menjuarai Grand Prix Brazil.

Dia kemudiannya meraih kemenangan ke-102nya di Doha pada Ahad lalu dengan Verstappen menduduki tempat kedua.

Pelumba Mercedes itu kini hanya lapan mata di belakang Verstappen dalam carta pemandu sekali gus tekanan semakin memuncak menjelang perlumbaan penamat musim.

Verstappen bakal mengesahkan gelaran dunia pertamanya jika menang di Arab Saudi dan Abu Dhabi serta muncul pelumba termuda melakukannya.

Tetapi berdasarkan kenyataannya membayangkan dia mungkin bersara daripada sukan permotoran apabila cita-citanya tercapai sekali gus menamatkan permusuhan paling sengit dengan Hamilton. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 6:47 PM