RICHARLISON (atas) menjaring gol kemenangan Brazil. FOTO/AFP
RICHARLISON (atas) menjaring gol kemenangan Brazil. FOTO/AFP
Reuters

LONDON: Brazil menewaskan Cameroon 1-0 dalam saingan persahabatan awal pagi tadi walaupun kehilangan kapten, Neymar akibat kecederaan selepas tujuh minit permainan, ketika jaringan Richarlison menjadikan ia kemenangan keenam dan rekod bersih tanpa bolos buat skuad kendalian Tite sejak Piala Dunia.

Brazil memerlukan sedikit masa untuk pulih selepas kehilangan Neymar ketika penyerang Paris St Germain itu mengalami kecederaan namun penggantinya Richarlison menyumbat gol tunggal permainan dengan tandukan hebat hasil hantaran sudut sebelum tamat separuh masa.

Pertukaran pemain selepas babak pertama membawa kepada permainan terbuka dan Brazil mula mengawal saingan.

Pemain gantian, Gabriel Jesus tidak bernasib baik untuk menggandakan jaringan selepas minit ke-53 apabila sepakannya terkena palang dari luar kotak penalti dan Artur menyaksikan sepakan dari jarak 25 meter melepasi palang.

Allan juga memiliki dua peluang untuk menambah jaringan namun penjaga gol Cameroon, Fabrice Ondoa berada di prestasi terbaik selepas masuk pada babak kedua.

"Dalam perlawanan terakhir kami saya ada peluang tapi malangnya tidak menjaringkan gol," kata pemain Everton, Richarlison. "Hari ini saya boleh memberi tumpuan lebih baik, mendapatkan gol dan membantu pasukan."

"Tite meminta kami bermain lebih terbuka, menukar tempat dengan Willian. Kami perlukan pergerakan untuk mengelirukan pertahanan tengah mereka. Ia berjaya, kami mencipta ruang dan ada peluang menjaringkan gol."

Kemenangan itu memberikan Brazil kejayaan keenam berturut-turut selepas mereka tersingkir di tangan Belgium pada Piala Dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 November 2018 @ 8:56 AM