NEYMAR pikul tugas berat ketuai Brazil buru gelaran keenam Piala Dunia.
NEYMAR pikul tugas berat ketuai Brazil buru gelaran keenam Piala Dunia.
AFP

Rio de Janeiro: Dibayangi kekecewaan lalu di Piala Dunia, Neymar kini sudah bersedia untuk mencapai kemuncak apabila mengetuai Brazil pada misi di Qatar 2022.

Kini berusia 30 tahun, pemain termahal dunia itu kerap gagal memenuhi jangkaan dan dibelenggu kecederaan sejak menyertai Paris Saint-Germain (PSG) dari Barcelona pada 2017 dengan rekod 222 juta euros (RM1.054 bilion).

Tidak lama dulu, Neymar pernah menyatakan Qatar akan menjadi penampilan terakhirnya di Piala Dunia pada ketika dia berhempas pulang untuk memenuhi permintaan bermain bola sepak pada tahap tertinggi.

Tetapi, prestasi dan sikapnya pada tiga bulan pertama tahun ini cukup cemerlang dan sesuai untuk mengemudi Brazil memburu rekod gelaran keenam Piala Dunia.

Selepas melapor diri untuk latihan pramusim seminggu lebih awal berbanding dijangkakan, Neymar cemerlang apabila kempen di Perancis bermula dan setakat ini menjaringkan 15 gol dalam 19 perlawanan untuk PSG, selain banyak melakukan bantuan jaringan untuk Lionel Messi dan Kylian Mbappe.

"Dia berada pada tahap terbaik ketika ini. Ini adalah hasil daripada persediaan hebat yang dilakukannya," kata jurulatih Brazil, Tite mengenai pemain bintangnya itu.

Perbincangan hujung musim mengenai kemungkinan PSG memotong gaji dan menjual Neymar sudah berlalu dan kini dia menuju ke Qatar dengan hanya kurang dua gol untuk menyamai 77 gol iaitu jaringan Pele sebagai rekod jaringan terbanyak sepanjang zaman Brazil.

Lapan daripada 75 gol Neymar itu hadir ketika prestasi hebat Brazil di pusingan kelayakan Piala Dunia kali ini apabila mereka tidak tewas dalam 17 perlawanan dan menduduki tangga teratas Zon Amerika Selatan.

Dia turut mengumpan lapan lagi gol dan membina gandingan mantap bersama rakan penggempur seperti Richarlison dan Lucas Paqueta.

"Pada ketika Neymar berada pada prestasi terbaik, kami memiliki peluang hebat untuk menang Piala Dunia kerana dia adalah pemain yang mampu membuat kelainan di tengah padang," kata legenda Brazil, Cafu kepada AFP.

Neymar mungkin mengidamkan untuk menang Anugerah Ballon d'Or, tetapi paling utama adalah mahu melupakan memori hitam di Piala Dunia sebelum ini.

Kempen Brazil ketika menjadi tuan rumah Piala Dunia 2014 berakhir dengan malapetaka apabila dibelasah 1-7 oleh Jerman di separuh akhir.

Empat tahun kemudian, Neymar menjaringkan gol kemenangan ke atas Costa Rica dan Mexico, tetapi anak buah Tite kecundang di tangan Belgium di suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2022 @ 11:07 AM