PEDRO (kiri) dan Vinicius Junior  ketika sesi latihan di Doha.
PEDRO (kiri) dan Vinicius Junior ketika sesi latihan di Doha.
Agensi

Doha, Qatar: Brazil bersiap sedia mempamerkan tarian unik mereka apabila setiap kali menjaringkan gol di Piala Dunia, menurut penyerang Raphinha.

Juara dunia lima kali itu amat teruja menjelang aksi pembukaan menentang Serbia awal pagi Jumaat ini dan pemain mereka berharap dapat membuat banyak tarian.

"Saya terus terang kepada anda, kami mempunyai pelbagai jenis tarian walaupun sehingga 10 jaringan," kata Raphinha ketika sidang akhbar semalam.

"Kami ada 10 tarian bagi setiap perlawanan. Satu untuk jaringan pertama, tarian kedua untuk gol kedua dan seterusnya. Jika kami jaring lebih 10 gol, kami perlu mencipta tarian baharu."

Brazil membawa skuad lebih agresif ke Qatar dengan Raphinha antara sembilan penyerang dipilih oleh jurulatih, Tite bagi memburu gelaran Piala Dunia pertama sejak dua dekad lalu.

Seorang lagi Vinicius Junior yang pada awal tahun ini terbabit kontroversi dengan tariannya ketika beraksi bersama Real Madrid. Dia dan rakan sepasukan Rodrygo terus menari walaupun berdepan kritikan di Sepanyol dan akan terus berbuat demikian bersama skuad kebangsaan di Piala Dunia.

Raphinha dan Neymar antara yang menyokong tindakan Vinicius manakala Richarlison, penjaring terbanyak Brazil tahun ini berharap jaringan akan terhasil untuknya dan rakan sepasukan di Qatar.

"Apabila anda memakai jersi nombor 9 bersama skuad Brazil, apa yang anda lakukan hanyalah memburu gol," katanya. "Bersama rakan sepasukan seperti ini, saya yakin jaringan akan datang."

Penyerang lain disenaraikan Tite ialah Pedro, Antony, Gabriel Jesus dan Gabriel Martinelli.

Richarlison, Raphinha dan Neymar dijangka diturunkan menentang Serbia tetapi belum dipastikan formasi serangan akan digunakan.

Selepas menentang Serbia, Brazil berdepan Switzerland dan Cameroon dalam aksi Kumpulan G.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2022 @ 2:01 PM