Khairul (dua kiri) menewaskan pencabar lain. FOTO HM Digital
Khairul (dua kiri) menewaskan pencabar lain. FOTO HM Digital
Aida Adilah Mat 


KUALA LUMPUR: Raja Pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan berjaya mengekalkan momentum lariannya untuk mengungguli acara 100 meter (m) Kejohanan Terbuka Innotex di Majlis Sukan Negara (MSN), di sini hari ini. 

Atlet berusia 19 tahun yang dikenali dengan nama julukan The Speedy Jantan itu mencatatkan masa 10.55 saat (s) untuk meraih pingat emas sekali gus menewaskan rakan sepelatih Muhammad Haiqal Hanafi (10.63s) dan Muhammad Zulfiqar Ismail (10.66s). 

Khairul bagaimanapun menegaskan catatan yang dilakukannya itu tidak boleh dibanggakan kerana jauh daripada pencapaian terbaik peribadinya 10.28s yang direkodkan ketika menjalani latihan di Jerman, Julai lalu. 

Namun, dia mengakui ia mampu dijadikan pembakar semangat untuk terus memperbaiki lagi rentak lariannya seterusnya memperbaharui rekod kebangsaan 10.18s miliknya sendiri. 

"Saya memang tidak sasarkan apa-apa di kejohanan ini kerana hanya mengikut perancangan jurulatih (Mohd Poad Md Kassim) untuk beraksi.  

"Jurulatih berpesan untuk nikmati larian dan 'enjoy' saja bila berlari. Jadi, saya cuba memberi yang terbaik tanpa meletakkan sebarang sasaran dari segi catatan masa, " katanya. 

Khairul yang juga pemegang rekod kebangsaan acara 200m berkata, dia akan turun sekali lagi beraksi dalam acara 4x100m esok bergandingan bersama Haiqal,  Zulfiqar serta Luqmanul Hakim Khairul Akmal. 

Di atas kertas, kuartet itu dilihat tidak berdepan masalah untuk mengungguli saingan berdasarkan pencapaian terbaik masing-masing.

Mereka dijangka menerima tentangan daripada rakan sepelatih dan kuartet Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Muhammad Ilham Suhaimi, Saiful Safwan Saifuddin, Abdul Wafiy Roslan dan Rusleem Zikry Putra Rosli.

Sementara itu, atlet heptathlon, Norliyana Kamaruddin mengungguli acara 100m wanita.

Tanpa kehadiran atlet pecut terbaik negara,  Liyana yang buat pertama kali beraksi dalam acara itu mencatatkan 13.35s untuk meraih emas menewaskan R Kirthana iaitu atlet lompat kijang di tempat kedua (13.46s) manakala Ng Yu Jie ketiga (13.76s). 

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 November 2018 @ 9:06 PM