Khairul Hafiz menerima insentif dari kerajaan negara Melaka. -FOTO Nazri Abu Bakar
Khairul Hafiz menerima insentif dari kerajaan negara Melaka. -FOTO Nazri Abu Bakar
Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Pelari pecut negara Khairul Hafiz Jantan sedia memberi [laluan' kepada Muhammad Azeem Fahmi sebagai pelari terakhir dalam acara 4x 100m pada saingan Sukan Asia, September depan.

Baginya, kehadiran Azeem pada Kejohanan Trek dan Padang Asia (ATF) di Bangkok, Julai depan tonik berharga buat kuartet negara dalam usaha meraih tempat terbaik, justeru dia bersedia menjadi pelari pertama menjelang Sukan Asia itu kelak.

Khairul Hafiz berkata, Azeem diberitakan akan pulang dari Amerika Syarikat dan membantu kuartet 4 x100m di ATF dan Sukan Asia sekali gus kedudukannya akan berpindah sebagai pelari pertama.

Khairul yang turut dikenali dengan julukan 'The Speedy Jantan' pernah memecahkan rekod kebangsaan pada Sukan Malaysia (Sukma 2016) dengan catatan masa 10.18s itu berharap gabungan Azeem dan kuartet Sukan Sea Kemboja 2023 bakal memberi impak dalam saingan itu kelak.

Khairul Hafiz berkata, dia kini mahu kembali menggegarkan arena olahraga tanah air selepas pernah muncul sebagai raja pecut 100m lelaki pada Sukan Sea 2017 di Kuala Lumpur.

"Saya kini bersedia dan bertekad mengembalikan semula prestasi terbaiknya dengan menyasarkan catatan masa 10.10s pada dalam ATF nanti.

"Saya akan fokus dua acara iaitu larian 100m dan 4x100m dengan sasaran memperbaiki masa larian," katanya yang mencatatkan 10.36s di temasya Sukan Sea Kemboja.

Khairul Hafiz berkata demikian ketika hadir menerima insentif kemenangan Atlet Negeri Melaka di Sukan Sea ke-32, Kemboja 2023 di Ayer Keroh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2023 @ 2:25 PM