PENAMPILAN terakhir Henry bersama New York Red Bulls.
PENAMPILAN terakhir Henry bersama New York Red Bulls.
DETIK gemilang meraikan kejayaan Liga Perdana Inggeris
DETIK gemilang meraikan kejayaan Liga Perdana Inggeris
AKSI Henry bersama  AS Monaco.
AKSI Henry bersama AS Monaco.
HENRY meraikan kejayaan menjulang Piala Dunia 98 bersama Youri Djorkaeff.
HENRY meraikan kejayaan menjulang Piala Dunia 98 bersama Youri Djorkaeff.

Penyerang legenda Arsenal, Thierry Henry mengumumkan persaraannya daripada bola sepak dan kembali ke London untuk menjadi pengulas sukan.

Bekas penyerang berusia 37 tahun itu meninggalkan New York Red Bulls pada awal bulan ini selepas tersingkir pada perlawanan penentuan MLS. Sejak itu, pelbagai spekulasi bertiup kencang mengenai masa depannya dengan berkemungkinan besar memilih untuk beraksi bersama kelab lain dan kembali menyertai Gunners.

Bagaimanapun, penyerang antarabangsa Perancis itu dan pemenang Piala Dunia itu menyifatkan sudah tiba masanya menggantung dalam karier menyaksikannya menjulang pelbagai trofi bersama kelab ternama seperti Monaco, Juventus, Arsenal, Barcelona dan Red Bulls.

Dalam satu kenyataan, Henry berkata: "Selepas 20 tahun bergelumang dalam permainan itu, saya memilih untuk bersara daripada bola sepak antarabangsa.

"Saya melalui pelbagai perjalanan menarik dan mahu mengucapkan terima kasih kepada peminat, rakan sepasukan dan individu terbabit bersama AS Monaco, Juventus, Arsenal FC, FC Barcelona, New York Red Bulls dan sudah tentu pasukan kebangsaan Perancis yang menjadikan detik saya dalam permainan itu sangat istimewa," katanya.

"Sudah tiba masanya mencari hala tuju karier berlainan dan saya terharu mengatakan saya akan kembali ke London untuk menyertai Sky Sports sebagai pengulas sukan. Saya berharap dapat berkongsi sebahagian pandangan, pemerhatian dan pengalaman saya pelajari selama bertahun-tahun bersama anda semua.

"Saya menikmati beberapa detik menakjubkan (kebanyakannya bagus) dan pengalaman sangat menarik.

"Saya berharap anda menikmati perlawanan sepertimana saya berasa seronok sewaktu beraksi di padang. Saya harap dapat bertemu anda semua di tempat lain selepas ini".

Henry akan sentiasa dikaitkan dengan Arsenal. Penyerang berbisa itu adalah penjaring terbanyak sepanjang masa bersama kelab itu dengan 228 dalam 377 perlawanan sepanjang beraksi bersama kelab itu.

Pengurus Arsenal, Arsene Wenger yang mengenalinya sewaktu zaman muda pemain terbabit di Monaco, menandatangani kontrak untuk membawanya daripada Juventus dengan nilai £11 juta (RM55 juta) pada 1999.

Wenger mengenal pasti potensi pemain terbabit mengubah posisi permainannya daripada bahagian sayap kepada pemain tengah menyerang.

Kepantasan dan kekuatan fizikal dimiliki membuatkan Henry muncul antara penyerang paling digeruni dalam Liga Inggeris. Dia memenangi Liga Perdana Inggeris bersama Arsenal sebanyak dua kali termasuk tiga kali menjulang Piala FA.

Henry meninggalkan Arsenal pada 2007 dan menyertai Barcelona menyaksikannya memenangi Liga Juara-Juara pada 2009.

Dia menambah dua gelaran La Liga, Copa del Rey, Supercopa Sepanyol, Piala Super UEFA dan Piala Kelab Dunia FIFA sepanjang tiga musim berada di Nou Camp.

Koleksi pingat dimenanginya termasuklah gelaran Ligue 1 dan Trophee des Champions bersama Monaco yagn menjadi kelab profesional pertama disertai.

Dia menghabiskan tempoh lima tahun terakhir dalam karier permainannya bersama Red Bulls, kembali ke Arsenal untuk membuat empat penampilan secara pinjaman pada awal 2012.

Bersama Perancis, Henry meledak 51 gol dalam 123 penampilan dan hanya diatasi oleh Lilian Thuram memiliki lebih banyak cap bersama Les Bleus.

Dia adalah salah seorang pemain skuad pemenang Piala Dunia 1998 dan muncul naib juara pada 2006.

Henry menjulang Kejuaraan Eropah pada 2000 dan sebahagian pemain dalam pasukan memenangi Piala Konfederasi pada 2003.

Henry turut cemerlang bersama Perancis, bersara daripada tugasan antarabangsa sebagai penjaring terbanyak sepanjang masa bersama negaranya dengan meledak 51 gol dalam 123 perlawanan.

Penyerang yang sentiasa tenang ketika beraksi di padang itu akan sentiasa diingati sebagai salah seorang pemain terbaik pernah dilahirkan oleh Perancis.

Malah, beberapa pemain pertahanan pernah berdepan dengannya dalam Liga Perdana seperti penolong pengurus Arsenal, Steve Bould dan pemain pertahanan kental Liverpool, Jamie Carragher mengakui menemui kegagalan setiap kali berdepan serangan Henry dalam perlawanan kompetitif.

Setiap kali Henry mendapat bola, dia akan serta merta bergerak seperti 'hantu' tanpa dapat dikesan ke arah kiri padang sambil disaksikan oleh penonton.

Dia tahu apa akan berlaku dan biarpun pemain pertahanan menyedari tetapi tidak banyak dapat dilakukan oleh mereka untuk menghalangnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Disember 2014 @ 5:10 AM