CHENG Hoe mahu pemain fokus persiapan Piala AFF. FOTO/FAIL
CHENG Hoe mahu pemain fokus persiapan Piala AFF. FOTO/FAIL
Aziman Rosdi


KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Tan Cheng Hoe mahu lima pemain Perak melupakan detik indah menjulang Piala Malaysia dan kembali fokus kepada tugasan bersama skuad Harimau Malaya bagi mengharungi kempen Piala AFF bulan depan.

Lima wira Perak iaitu Shahrul Saad, Nazirul Naim Che Hashim, Amirul Azhan Aznan, Kenny Palraj dan Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy melaporkan diri hari ini bagi menyertai latihan bersama skuad kebangsaan.

Kehadiran mereka yang beraksi dalam final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam Sabtu lalu menewaskan Terengganu menerusi sepakan penalti 4-1 selepas aksi sebenar seri 3-3 melengkapkan senarai 26 pemain yang dipanggil Cheng Hoe.

“26 pemain dipanggil cuma Kenny Pallraj yang mendapat kecederaan dan yang lain saya rasa sudah bersedia untuk buat sesuatu pada kempen Piala AFF.

“Pemain sudah bermain sepanjang musim dan sebagai jurulatih agak khuatir keletihan dari segi mental dan fizikal tetapi saya rasa mereka ingin mencapai kejayaan dalam kempen Piala AFF,” katanya.

Menurut Cheng Hoe, beliau tidak bimbang dengan tahap kecederaan kaki kanan Kenny yang dijangka pulih dalam masa beberapa hari lagi manakala pemain muda Akhyar Rashid bakal memulakan latihan esok.

Bekas pengendali Kedah itu berkata, beliau bakal menilai 23 pemain terbaik untuk kempen Piala AFF pada aksi pemanas badan terakhir menentang Maldives Sabtu ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Perlawanan terakhir dengan Maldives kita akan cari kesebelasan terbaik tapi bukan mudah kerana perlawanan persahabatan kelas A hanya enam pertukaran pemain boleh dilakukan. Tapi  saya dan barisan kejurulatihan akan cuba dapatkan kesebelasan terbaik,” kata Cheng Hoe.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Oktober 2018 @ 8:54 PM