Ahmad Rabiul Zulkifli

KUALA TERENGGANU: Lebih 5,000 penyokong skuad Penyu membanjiri pekarangan Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah (SSINS) seawal jam 6 pagi tadi untuk membeli tiket bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia, Sabtu ini.  

Keadaan di hadapan kaunter tiket sesak berikutan peminat bola sepak tidak mahu terlepas peluang membeli tiket yang hanya diperuntukkan sebanyak 2,000 keping.  

Ada peminat yang menyatakan rasa tidak puas hati kerana Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) hanya menyediakan 2,000 tiket sedangkan jumlah diperuntukkan untuk negeri 30,000 keping.  

Mohd Othman Omar, 35, dari Kampung Kijing berkata, jumlah tiket yang terhad dijual di kaunter menyebabkan dia tidak menaruh harapan tinggi untuk membelinya.  

"Saya sudah tempah van untuk ke Shah Alam tetapi dipulangkan semula wang tempahan itu oleh pemilik van kerana bimbang tiket tidak mencukupi.  

"Kerana terlalu berharap untuk menyaksikan perlawanan akhir, saya sanggup datang ke kaunter seawal jam 6.30 pagi," katanya ketika ditemui di kaunter tiket dekat SSINS di sini, hari ini.   Othaman berkata, dia tidak pernah menyaksikan perlawanan akhir justeru berharap dapat meraih pengalaman pertama ketika Terengganu FC (TFC) bertemu Perak.

PENYOKONG  Terengganu beratur seawal pagi untuk mendapatkan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Perak di pekarangan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. -Foto GHAZALI KORI
PENYOKONG Terengganu beratur seawal pagi untuk mendapatkan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Perak di pekarangan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. -Foto GHAZALI KORI

"Tujuh tahun saya menantikan kejayaan Terengganu ke pentas akhir tetapi terpaksa berhadapan dengan masalah ini dan harapan ke Shah Alam menjadi samar.  

"Saya harap PBSNT lebih telus dalam penjualan tiket supaya semua peminat berpeluang mendapatkan tiket," katanya.  

Rakannya, Khairul Ahmad, 27, dari Kampung Kijing berkata, sepatutnya penjualan tiket itu dijalankan di dua kaunter.  

"Apabila hanya satu kaunter dibuka dengan jumlah tiket terhad, risiko untuk berlakunya pergaduhan.   Sepatutnya PBSNT memberi kemudahan kepada penyokong bukan menyusahkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Oktober 2018 @ 10:50 AM