Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


SESI penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA antara Pahang dan Kedah di Stadium Darul Makmur (SDM), Kuantan, berjalan lancar tanpa sebarang kesesakan mahupun kekecohan berlaku.

Tinjauan mendapati penyokong sudah mula berkumpul seawal 7 pagi walaupun kaunter tiket hanya dibuka bermula jam 10 pagi.

Sebanyak 17,000 tiket dijual di tujuh kaunter yang dibuka di SDM.

Penyokong Tok Gajah, Mohammad Rosman Kamaruddin, 23, berkata, dia sanggup menempuh perjalanan sejauh kira-kira 140 kilometer dari rumahnya di FELDA Jengka 14, Maran semata-mata untuk mendapatkan tiket berkenaan.

“Saya bersama tiga rakan bertolak dari rumah sekitar jam 1 pagi dan tiba di stadium kira-kira jam 3 pagi, kami menunggu di sini sehingga kaunter dibuka.

Penyokong Pahang gembira dapat membeli tiket perlawanan akhir Piala FA. FOTO Zulkepli Osman
Penyokong Pahang gembira dapat membeli tiket perlawanan akhir Piala FA. FOTO Zulkepli Osman

“Saya tidak mahu terlepas peluang untuk mendapatkan tiket kerana mahu menyaksikan sendiri perlawanan akhir itu, sudah tentu saya mahu memberi sokongan kepada pasukan Tok Gajah," katanya ketika ditemui di sini.

Juruteknik, Sulaiman Majid, 23, berkata, dia mengambil keputusan keluar awal ke stadium kerana tidak mahu berebut dengan penyokong lain.

Katanya, sebelum ini dia terpaksa bersesak untuk mendapatkan tiket bagi perlawanan Pahang menentang Johor DT dan Negeri Sembilan, baru-baru ini.

"Saya tidak mahu terlepas peluang mendapatkan tiket dan berdepan dengan keadaan sesak seperti itu lagi, jadi saya mengambil keputusan untuk datang ke sini selepas solat Subuh kira-kira jam 5.30 pagi tadi.

"Bagaimanapun keadaan penjualan tiket hari ini berjalan dengan lancar dan bilangan penyokong yang hadir untuk mendapatkan tiket juga tidak begitu ramai, mungkin faktor hari bekerja," katanya yang tinggal di Permatang Badak.

Sementara itu, kira-kira 600 ahli kelab penyokong Laksamana Tok Gajah (LTG) dan Famili Tok Gajah (FTG) 06 dijangka akan berkonvoi ke Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Pengerusi LTG Mohd Jusri Abd Kadir, 43, berkata, mereka akan bergerak kira-kira 10 pagi dari SDM.

"Kita akan berhenti di tol Temerloh, Karak dan Gombak bagi membolehkan ahli kelab yang lain menyertai kita dan berkumpul di Seksyen 15 (Shah Alam) sebelum bergerak masuk ke stadium.

"Saya juga ingin menasihati peyokong Pahang supaya jangan timbulkan sebarang provokasi dan jaga nama baik serta imej Tok Gajah," katanya.

Penyokong Pahang sanggup menunggu sejak awal pagi untuk mendapatkan tiket. FOTO Zulkepli Osman
Penyokong Pahang sanggup menunggu sejak awal pagi untuk mendapatkan tiket. FOTO Zulkepli Osman

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2017 @ 1:05 PM
Penyokong Pahang beratur seawal 7 pagi di kaunter jualan tiket Stadium Darul Makmur. FOTO Zulkepli Osman
Penyokong Pahang beratur seawal 7 pagi di kaunter jualan tiket Stadium Darul Makmur. FOTO Zulkepli Osman