NUR Bahirah (kiri) dan Greanie berkongsi pingat emas acara gimnastik wanita keseluruhan. -Foto SUKMA 2018
NUR Bahirah (kiri) dan Greanie berkongsi pingat emas acara gimnastik wanita keseluruhan. -Foto SUKMA 2018
Aida Adilah Mat dan Jumiati Rosly


IPOH: Gimnas Pahang, Siti Nur Bahirah Husniah Ahmad dan Greanie Ng dari Wilayah Persekutuan berkongsi pingat emas dalam acara gimnastik wanita keseluruhan pada hari pertama acara gimnastik artistik dipertandingkan, hari ini.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Indera Mulia, Bahirah dan Greanie berkongsi emas selepas kedua-duanya mengumpul 46.850 mata keseluruhan dengan pingat gangsa milik Audrey Jude dari Sarawak (45.600 mata).

Mata dalam acara individu keseluruhan itu dikira berdasarkan prestasi empat disiplin terdiri melombol, senaman lantai, palang bertingkat dan titian imbangan.

Bahirah yang pernah meraih emas dalam acara berpasukan ketika Sukan SEA Singapura 2015 mengakui pengalamannya beraksi pada temasya terbesar Asia Tenggara itu membantunya pada penampilan kali keempat dan terakhir di SUKMA.

Bahirah, 20, berkata emas yang diraihnya dalam acara individu itu adalah pencapaian paling cemerlang sejak beraksi di SUKMA Terengganu 2008.

“Saya akui prestasi saya di SUKMA tidak begitu baik, jadi apabila saya dapat meraih emas pada penampilan terakhir di pentas ini, ia cukup menggembirakan.

“Saya gembira apabila dapat beraksi dengan baik dalam acara senaman lantai serta melombol dan ia banyak membantu saya mendapatkan mata tertinggi,” katanya yang terpaksa berehat hampir setahun kerana cedera.

Sementara itu, Greanie, 16, mengakui kejayaannya itu menebus kekecewaannya di Sarawak 2016 apabila sekadar membawa pulang gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 September 2018 @ 10:04 PM