SHARUL Aimy tetap mahu memperbaiki setiap kelemahan yang ada supaya dapat terus menyinar dalam sukan gimnastik. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
SHARUL Aimy tetap mahu memperbaiki setiap kelemahan yang ada supaya dapat terus menyinar dalam sukan gimnastik. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Affan Rostam


Kuala Lumpur: Kejayaan meraih tiga daripada empat pingat emas yang disasarkan dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2022 sudah memadai buat gimnas Terengganu, Muhammad Sharul Aimy Mohd Kamaru Hisam terus mengukir senyuman.

Sharul Aimy yang juga gimnas negara itu mengakui dia berpuas hati dengan prestasinya dalam temasya kali ini kerana ia adalah yang terbaik berbanding edisi-edisi sebelum.

"Untuk final semalam saya rasa gelabah sikit tapi secara keseluruhan saya berpuas hati sebab dah lama tak main dalam enam acara dan ini kali pertama selepas empat tahun.

"Ini adalah prestasi terbaik saya dalam Sukma. Untuk pertama saya di Sukma Sarawak (2016) saya hanya dapat nombor dua dalam acara berpasukan. Sukma Perak (2018) pula, saya mengalami kecederaan dan tak boleh bertanding waktu itu.

"Jadi, saya betul-betul sasarkan tahun ini (Sukma 2022) tapi dapat tigas daripada empat emas yang disasarkan pun dah okay," kata gimnas berusia 21 tahun itu.

Bagaimanapun, dia tetap mahu memperbaiki setiap kelemahan yang ada supaya dapat terus menyinar dalam sukan gimnastik.

"Saya nak tambah baik lagi penggunaan kaki dari segi pendaratan dan sebagainya. Skil tak ada masalah, saya cuma gelabah sikit dalam final," katanya.

Untuk rekod, Sharul Aimy meraih emas bagi acara senaman lantai, kekuda pelana dan melombol selain turut membawa pulang dua pingat gangsa dengan masing-masing bagi acara palang sejajar dan palang tunggal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2022 @ 2:23 PM