JUWAIDI memenangi emas acara compound individu lelaki selepas menewaskan pemanah Thailand, Saripop Chainak. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
JUWAIDI memenangi emas acara compound individu lelaki selepas menewaskan pemanah Thailand, Saripop Chainak. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Ferzalfie Fauzi dan Sukhairi Thani dan Fadhli Ishak

Hanoi: Pemanah berpengalaman negara, Juwaidi Mazuki mengharungi detik manis di Sukan Sea Hanoi apabila memenangi dua pingat emas dan satu perak.

Sebelum ini, gandingan Juwaidi, Alang Ariff Aqil Muhammad Ghazali dan Wong Co Wan meraih perak dalam acara berpasukan lelaki apabila tewas 230-229 kepada Indonesia dalam perlawanan akhir.

Kemudian, Juwaidi merangkul emas apabila bergandingan dengan Fatin Nurfatehah Mat Salleh untuk memenangi acara compound berpasukan campuran.

Ia adalah emas ketiga mereka dalam acara berpasukan campuran selepas memenangi acara sama di Sukan Sea Singapura 2015 dan Kuala Lumpur 2017.

Lebih manis, Juwaidi kemudian memenangi emas acara compound individu lelaki selepas menewaskan pemanah Thailand, Sirapop Chainak 147-42 (30-26, 30-28, 30-30, 28-29, 29-29) di final.

Seorang lagi pemanah negara, Alang Ariff Aqil Muhammad Ghazali memenangi pingat gangsa selepas menewaskan peserta Vietnam, Van Day Nguyen 146-143.

Juwaidi mengakui gembira apabila memenangi gelaran individu di Sukan Sea.

"Saya sedar betapa pentingnya memenangi pingat emas pertama dalam acara berpasukan campuran kerana ia akan mengurangkan tekanan kepada saya apabila turun di final individu.

"Saya yakin sepanjang pertandingan ini dan akhirnya memenangi emas individu pada penampilan kelima di Sukan Sea," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2022 @ 6:09 PM